Bersatu Bahagian Tanjong tiada halangan untuk menerima penyertaan bekas ahli-ahli Umno ke dalam parti itu.
Ketuanya, Mohd Kamal Fairos Mohd Ibrahim berkata, langkah itu diharap dapat mengeratkan lagi perpaduan di kalangan orang Melayu khususnya di Pulau Pinang.
“Kita sertai politik ini adalah untuk bersama dengan rakan-rakan PH bagi merealisasikan janji dalam manifesto PRU14 yang lalu.
“Kita sedia menerima kemasukan bekas ahli-ahli Umno, kita tidak menolak sesiapa saja yang nak sertai Bersatu.
“Namun kita harap penyertaan mereka dapat membantu mengeratkan lagi perpaduan di kalangan orang Melayu,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, setakat ini lebih 600 orang telah berdaftar dengan Bersatu Bahagian Tanjong.
“Insya-Allah kita masih di peringkat untuk mencari lebih ramai ahli. Sasaran kita sehingga hujung tahun ini seramai 1,000 orang berdaftar.
“Setakat ini seramai 631 orang telah berdaftar, tetapi masih ada sebahagian borang yang belum dihantar ke pusat untuk proses pendaftaran.
“Kebanyakan mereka adalah fresh, bukan daripada mana-mana parti politik. kita tidak menolak ada juga yang terdiri daripada bekas-bekas ahli Umno,” katanya.