Apabila Kongres PKR kali ke-13 dibuka esok, semua perhatian akan bertumpu kepada usaha Anwar Ibrahim untuk menyatukan dua kem masing-masing diketuai Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang bersaing merebut jawatan timbalan presiden.
Keputusan awal pemilihan yang bermula 22 September lalu menunjukkan Azmin mendahului sementara pasukannya juga menguasai sebahagian besar jawatan, termasuk dalam dua sayap parti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.
Banyak pihak percaya Anwar akan melantik Rafizi dan sekutunya ke jawatan penting untuk meredakan keadaan dan menyatukan parti, selain mengurangkan pengaruh kem Azmin.
“Kemenangan kumpulan Azmin terlampau nyata pengaruhnya yang telah menguasai lebih separuh jawatan parti. Anwar perlu memainkan peranan.
“Kita lihat ada sikap terbuka para pemimpin PKR yang mengiktiraf bakat dan kepimpinan Rafizi.
“Pengaruh Rafizi juga tidak boleh dinafikan kerana persaingan diberikan kepada Azmin sengit berbanding pemilihan sebelum ini,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar.
Pemimpin kanan PKR seperti Naib Presiden Tian Chua juga sebelum ini mencadangkan agar Rafizi diberi jawatan utama dalam parti, selepas pemilihan ini.
Azmin adalah timbalan presiden PKR sejak 2010, berpengalaman dan diakui kepimpinannya semasa menjadi menteri besar Selangor, dan sekarang menteri persekutuan memegang portfolio hal ehwal ekonomi.
Rafizi, bekas ahli Parlimen Pandan, pernah jadi setiausaha agung parti dan diakui memberi sumbangan besar kepada Pakatan Harapan untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 melalui analisis data besar yang dijalankan firmanya, Invoke Malaysia.
Veteran PKR Dr Syed Husin Ali yakin Anwar akan berjaya menyatukan kedua-dua tokoh itu, yang merupakan aset kepada parti.
“Anwar sudah tentu akan usahakan untuk satukan dua pihak. Dia mahu lihat parti bersatu. Ia adalah cabaran besar buat beliau tapi saya yakin kepimpinan Anwar dan kerjasama pelbagai pemimpin akhirnya langsung,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bekas timbalan presiden PKR itu melihat kongres bermula hari ini amat penting buat Anwar untuk menyampaikan mesej penyatuan parti yang kini menerajui kerajaan.
“Salah satu agenda utama Anwar adalah bagaimana sebagai kerajaan, parti perlu dikukuhkan. Parti juga perlu menjalankan program kerajaan yang boleh menguntungkan ramai rakyat,” katanya lagi.
Kem Azmin dan Rafizi bertelingkah secara terbuka sejak kempen bermula pada akhir Jun lalu dan memuncak selepas pengundian bermula pada 22 September, dengan masing-masing menuduh satu sama lain terlibat dalam politik wang selain pelbagai kontroversi melibatkan masalah teknikal sistem pengundian elektronik.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Azmin mengatasi pencabarnya itu dengan majoriti lebih kurang 2,700 undi, selepas keputusan di beberapa cabang yang digantung disahkan oleh jawtaan kuasa pemilihan pusat termasuk undi ragu.
Menurut Syed Husin, perpecahan yang berlaku dalam PKR tidaklah seteruk seperti dilaporkan oleh media.
“Sebahagian besar cerita perpecahan bagi saya sekadar diperbesarkan pihak tertentu,” katanya, yang jadi orang nombor dua parti antara 2004 hingga 2010.
Sementara itu, di peringkat akar umbi Ketua AMK Hulu Selangor, Saifudin Shafi juga yakin gandingan Anwar dan Azmin akan meneruskan kegemilangan parti.
Beliau juga percaya calon dari kedua-dua kem yang bertentangan akan mampu bekerjasama untuk agenda reformasi yang lebih besar.
“Selepas pemilihan berakhir, PKR akan semakin kuat kerana gandingan Anwar-Azmin yang sememangnya ditunggu-tunggu kerana karakter, kredibiliti dan ketrampilan dua tokoh ini.
“Saya yakin kesemuanya akan dapat bekerjasama kerana barisan Azmin mendominasi dan cuma sebilangan kecil barisan Rafizi yang tinggal dalam kepimpinan.
“Ini memudahkan sebarang bentuk kerjasama politik dalaman dan yakin tidak akan ada gangguan yang boleh menggugat kestabilan parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, penganalisis dan pimpinan masing-masing berbeza pandangan tentang peranan Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam parti selepas ini.
Tunku Mohar melihat timbalan perdana menteri itu akan menyokong Anwar tetapi lebih bertumpu sebagai “isteri perdana menteri”.
“Saya tidak fikir beliau akan jadi menteri lagi jika Anwar ditabalkan jadi perdana menteri,” katanya.
Anwar sendiri sebelum ini memberi jaminan Dr Wan Azizah akan letak jawatan kerajaan apabila beliau jadi perdana menteri.
Namun, Syed Husin melihat Wan Azizah masih lagi ada sumbangan pada parti dengan menjadi penasihat.
“Bukanlah menjadi ketua umum kerana ia jawatan khas untuk Anwar tetapi beliau (Wan Azizah) boleh jadi penasihat kerana masih boleh menyumbang.” katanya. – TMI