Tindakan pemimpin Umno dan Pas yang mengapi-apikan isu Ketuanan Melayu untuk mencetuskan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan Pakatan Harapan dianggap sebagai bankrap idea.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pemimpin pembangkang yang memainkan politik perkauman tiada tujuan lain selain mahu menjejaskan stabiliti politik dalam negara.
“Keadaan ini memang tidak sihat dan tidak patut diteruskan sebab sebahagian dari rakyat boleh dipengaruhi oleh pemimpin-pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab dan ini mampu menjejaskan suasana muhibbah di antara pelbagai bangsa di sini.
“Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum justeru itu, semua orang di Malaysia harus hidup aman-damai dengan jiran kita tanpa mengira bangsa, kaum ataupun agama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gopeng kepada Suara Pakatan Daily.
Menurut Dr Lee, ahli politik yang memainkan isu perkauman adalah mereka yang tidak mempedulikan ekonomi rakyat dan negara yang berada dalam keadan sukar
“Jika sentimen perkauman meledak di Malaysia, ia boleh memusnahkan semangat muhibbah di antara rakyat dan ini akan menghancurkan keharmonian negara.
“Seterusnya Malaysia akan dipulau oleh masyarakat antarabangsa apabila mereka lihat keadaan sebegini wujud di Malaysia,” tegas Dr. Lee.
Sehubungan itu Dr Lee berkata, pihak pembangkang mestilah bekerjasama dengan rakyat untuk mewujudkan suasana harmoni dan bukannya membangkitkan isu-isu perkauman untuk memecah-belahkan rakyat
Katanya, jika rakyat tidak bersatu, negara akan tumbang dan ini telah berlaku di negara-negara di mana terdapat perang saudara yang telah mengakibatkan ramai orang terbunuh dan ekonomi negara tersebut berada dalam keadaan kucar-kacir.