Kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang memasuki minggu kedua semakin hangat. Dengan peluang Pakatan Harapan untuk menang dianggap tipis berikutan pengundi Melayu menganggap perintah Tuhan untuk menyingkirkan kerajaan kafir PH.
Bagi calon PH, M Manogaran biar pun kemenangan sukar berlaku tanpa sokongan padu pengundi Cina dan India sehingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi kaum itu, PH tetap bergerak dengan optimis mengharapkan pengundi Melayu akan berubah pada saat akhir.
“Bagi pihak PH, kita sedang menegaskan kepada pengundi bahawa kalau kami menang pengundi boleh menikmati manfaat yang lebih berbanding jika kemenangan calon BN.
“Kita beritahu tidak rugi pengundi diwakili oleh PH di peringkat Persekutuan manakala negeri Pahang yang ditadbir oleh BN masih akan menyalurkan dana kepada pengundi Cameron kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang termasuk dalam kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah kerusi Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail,” kata Manogaran kepada Suara Pakatan Daily.
Bagaimanapun, menurutnya kemenangan masih dalam risiko kerana pengundi Cina yang bekerja di Kuala Lumpur atau Singapura mungkin tidak akan pulang mengundi sebab mereka hanya akan balik untuk Tahun Baru Cina yang bermula pada 5 Februari depan manakala Hari Pengundi untuk PRK ini ialah pada 26 Januari 2019.
Namun, Manogaran berharap pengundi dari masyarakat Orang Asli dan masyarakat Melayu akan berpihak kepadanya kerana peluang pembangunan adalah lebih tinggi sekiranya calon PH menang.
“Yang penting sekarang ialah meningkatkan sokongan dari Orang Asli dan masyarakat Melayu. Saya telah melawat masyarakat Melayu di Sungai Koyan dan mereka telah memberi sambutan yang baik.
“Saya memberitahu mereka situasi terkini mengenai senario politik negara. PH perlu membanyakkan lawatan ke kawasan kampung dan pedalaman sebelum hari mengundi untuk memberi penerangan,” ujar Manogaran lagi.