CERPEN: Abdul Karim bin Abdul Razak namaku. Usiaku sudah 57 tahun. Aku menjadi ahli PAS hampir 35 tahun lamanya.
Aku berjuang di dalam PAS dari anak teruna hingga sekarang yang sudah mempunyai sepasang cucu. Ada juga rakan-rakan seperjuanganku yang telah pun meninggal dunia.
Aku antara orang yang bertangungjawab membuka markas PAS di kampungku, masa itu aku belum berkahwin lagi. Bukan kerja mudah untuk membuka cawangan di kampung yang dipenuhi oleh ahli-ahli UMNO.
Apa lagi bapa saudaraku seorang ketua cawangan UMNO di dalam kampung yang kami tinggal bersama. Bab cerita dipulau, disingkirkan dari segala bagai bantuan dari kerajaan itu memang perkara biasa.
Aku berjuang di dalam PAS bersama dengan sekelompok kecil rakan-rakan di dalam kampung.
Kami tubuhkan cawangan PAS dengan wang sendiri, usaha sendiri tanpa mendapat sebarang bantuan dari pihak parti.
Perjuangan jihad
Bagi aku, itu bukan masalah besar di dalam perjuangan Islam. Berpuluh tahun aku di dalam PAS, kami sentiasa diberi semangat perjuangan jihad menentang kemungkaran yang dibawa oleh UMNO.
Sepuluh tahun berlalu, semakin ramai anak-anak kampung mulai menyertai PAS. Aku bersyukur kerana ada ahli UMNO di kampungku menyertai PAS yang aku bina dengan kawan-kawan yang seangkatan. Walaupun kami tidak mempunyai ahli yang ramai, tapi semuanya ikhlas di dalam perjuangan untuk Islam.
Aku memang aktif dalam PAS… Setiap ceramah yang jauh dan dekat akan aku hadiri. Selama berpuluh tahun aku mendengar ceramah dari pemimpin-pemimpin PAS, belum pernah aku dengar UMNO baik untuk Islam. Kami ahli-ahli PAS diberi semangat dan jangan sesekali untuk berputus asa melawan UMNO yang zalim, penipu, pencuri, rasuah dan tolak Islam.
Tok Guru difitnah
Jika UMNO jatuh, itu adalah kemenangan umat Islam di Malaysia. Zaman berubah begitu cepat… Aku pada mulanya memang tidak dapat menerima dan seperti tidak percaya, kerana pucuk pimpinan PAS bersama Tok Guru mahu kami membantu UMNO. Alasannya untuk Islam, sedangkan sebelum ini, kami dididik UMNO tolak Islam. Mahu tidak mahu, kami tetap walak dengan Tok Guru.
Sebelum PRU-14… tamparan hebat kami mendapat khabar… Tok Guru terima RM 90 juta dari Najib. Aku merasa lega… Rupa-rupanya Tok Guru difitnah oleh musuh-musuh politiknya. Aku sangat yakin Tok Guru difitnah, kerana Tok Guru berani bertindak dengan menyaman laman web SARAWAK REPORT (SR), itu satu bukti kebenaran dari Tok Guru.
Kami dirayu untuk menderma kepada Tok Guru yang mahu saman SR.
Atas semangat Islam, atas semangat derma itu jihad… Aku menderma RM 1,000. Aku bukan nak menunjuk-nunjuk, walau pun RM 1,000 cukup besar untuk keperluan keluargaku.
Derma kali kedua
Akhirnya Tok Guru dapat juga saman SR.
Di hujung tahun 2018… Tok Guru merayu lagi untuk menderma kali kedua untuk lunaskan yuran guaman yang sangat tinggi di London. Kebetulan, aku baru menjual dua ekor lembu peliharaan ku yang sebelum ini ada lima ekor. Hasil dari wang jual lembu RM 6,000, aku dermakan sebanyak RM 2,000. Bagi aku… pemfitnah mesti diajar dan dihukum.
Keluarga aku, mereka juga ikhlas dalam perjuangan jihad. Semalam aku sangat kecewa apabila mendapat tahu, Tok Guru menarik balik saman terhadap SR.
Rasa tertipu
Persoalannya, kenapa perlu tarik balik saman tersebut… Soal wang bukan masalah, kerana ratusan ribu RM berjaya dikutip dalam masa dua minggu.
Kini aku rasa tertipu dengan Hj Hadi Awang dan aku yakin RM 90 juta yang dikaitkan dengan Hadi adalah benar. Aku tidak kisah jika RM 90 juta yang diberikan Najib itu digunakan untuk PAS, tapi sebaliknya, ramai pemimpin PAS di peringkat pusat, berkereta mewah, mampu memiliki rumah besar dengan sekelip mata.
Jadi aku sudah tidak yakin… Kerjasama dengan UMNO untuk Islam dan Melayu seperti mana dikatakan oleh Hadi Awang, hakikatnya kerjasama itu untuk kepentingan dan mencapai cita-cita peribadi.
Untuk Melayu dan Islam hanya alasan untuk mengaburi mata hati kami…
Dengan lafas BISMILAHIROHMALNIROHIM dengan ini… aku keluar dari Parti PAS. Berpuluh tahun aku ditipu dan buang masa sambil diperbodohkan…
_____________________________________________________________________________
Tulisan ini adalah pendapat penulis dan bukannya pendirian rasmi Suarapakatandaily