Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PH tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan akan bekerja keras bagi memastikan calonnya mendapat kemenangan dengan majoriti yang besar.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata pihaknya menyedari tentang kerjasama Umno dan PAS yang mungkin memberi tentangan sengit pada PRK yang dijadual berlangsung 2 Mac itu.
“Kita telah mengambil kira dalam kajian kita, dahulu wakil kita yang menang Allahyarham (Bakhtiar Mohd Nor) mendapat majoriti lebih 8,000 undi namun bila buat simulasi dicampur (jumlah undi) Umno dan PAS, majoriti kita menurun kepada kira-kira 1,900 undi sahaja.
“Itu simulasi. namun kali ini apa jua bentuk kerjasama mereka, itu tidak penting. Yang penting kita bekerja keras di sini,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon PH bagi PRK berkenaan iaitu Muhammad Aiman Zainali di Semenyih hari ini.
Muhyiddin turut menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerjasama kedua-dua parti tersebut – sama ada parti PAS yang “menunggang” Umno atau sebaliknya.
“Saya pun sudah lama dalam politik, tahu sejarah. Kadang-kadang ini (kerjasama) untuk seketika, tetapi realitinya apakah PAS dan Umno akan betul-betul bergabung sebagai sebuah parti, tetapi itu soal merekalah” katanya
Muhyiddin juga mahu rakyat khususnya pengundi di DUN Semenyih menilai perjuangan PAS yang sanggup bekerjasama dengan Umno walaupun mengetahui banyak masalah yang berlaku dalam parti itu.
“PAS patut tahu Umno telah melakukan banyak kemungkaran. Saya terbuang, tersingkir dalam kerajaan dahulu kerana saya bersuara menentang kemungkaran dan kesalahan.
“Saya rasa agak hairan PAS yang kata berjuang atas nama Islam, dia tahu kemungkaran berlaku, kerosakan Tabung Haji, Felda dan 1MDB tetapi masih nak bermesra (dengan Umno). Itu tidak menunjukkan sikap Islamiknya,” tambahnya.
Katanya, ia berbeza dengan kerjasama antara parti komponen PH yang mahu menjadikan Malaysia kembali berada di landasan yang gemilang. – mkini