Jauh di dalam Kampung Jalam Enam Kaki, Beranang, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim berucap dengan menggunakan slaid.
Lebih menjadikan sesi ceramah itu persis kuliah universiti, Rais turut menggunakan alat penuding (pointer) untuk menunjukkan perkara-perkara tertentu dalam slaid tersebut.
Taktik tayangan slaid di atas sebuah lori itu, di halaman rumah imam Surau Tengah, nampaknya berjaya menarik perhatian kira-kira 300 penduduk yang hadir ke ceramah rapat rakyat untuk pusat daerah mengundi (PDM) Kuala Pajam.
Semuanya khusyuk mendengar ceramah Rais yang disampaikan dalam loghat Negeri Sembilan itu.
Slaid Rais itu menayangkan siri-siri skandal yang terpalit dengan pemerintahan Barisan Nasional, khususnya 1MDB.
Satu slaid yang menerima sorakan ramai hadirin ialah slaid bekas perdana menteri Najib Abdul Razak membonceng motosikal bersama isterinya Rosmah Mansor.
“Tompat duduk belakang tu dah dikolom eh. Macam mano dio mengolom duit, macam mano dio mengolom ekonomi, macam mano dio molarikan, walaupun motosikal penyet tayar eh.
“Saudara saudari, gambar ni memanglah dibuat oleh pelukis. Tapi akhirnya, memang membawa kepada malapetaka bagi Bossku dan isterinya,” kata Rais.
Rais turut memaparkan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat sembilan bulan memegang pemerintahan, yang menurutnya tidak banyak diperkatakan atau dilaporkan oleh media.
Ketika menayangkan slaid yang memaparkan barisan perdana menteri yang pernah menerajui negara, Rais mengakui bahawa setiap satu daripada mereka ada sumbangan tersendiri buat negara.
“Saudara saudari, entah bagaimana nasib saya, saya berkhidmat di bawah semua (perdana menteri) ini: Tunku, Tun Razak, Tun Hussein, Mahathir, Pak Lah, Najib, bawah Tun kembali.
“Jadi, terima kasih itu nak saya sedekahkan pengetahuan ikhlas, bahawa mereka semua sudah berjasa.
“Cuma silap anak Tun Razak ini, dalam mengendalikan perjuangan akhir beliau, dalam urusan negara, urusan parti dan urusan keluarga,” katanya lagi.
Tempoh berkempen bakal tamat tepat jam 11.59pm.
Esok, penduduk Semenyih akan membuang undi untuk memilih wakil rakyat daripada empat calon: Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nok Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas). – mkini