Biar pun seolah-olah dihalau lewat kenyataan Setiausaha Agung BN Nazri Aziz tempoh hari, MCA dan MIC yang berura-ura ingin mencari pakatan baharu selepas Umno rasmi bekerjasama dengan Pas tetap tidak ke mana.
Mengulas situasi itu, Exco Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, MCA dan MIC telah kehilangan hala tuju dan tidak mampu membuat keputusan untuk meninggalkan BN atau membentuk pakatan baharu dengan parti politik lain.
“Walaupun MCA dan MIC tidak gembira berada dalam koalisi BN, mereka masih berada dalam koalisi tersebut.
“Hanya yang kita pasti ialah mereka belum dapat menentukan halatuju mereka,” sinis Nizar yang juga ADUN Sungai Rapat.
Menurut Nizar, frasa ‘move on’ yang digunakan dalam kenyataan sidang media kedua-dua parti pada 4 Mac lalu ialah frasa Bahasa Inggeris bermakna ‘mara ke depan’ tetapi kedua-duanya tidak menyatakan dengan jelas ke manakah mereka akan pergi.
Oleh itu, kata Nizar, masa depan MCA dan MIC amat malap, terutama apabila Umno dan Pas bekerjasama secara rasmi. Kekuatan MCA dan MIC tidak lagi diperlukan oleh Umno.
“Masyarakat Cina dan India telah memulau MCA dan MIC. Ini bererti kedua-dua parti tersebut tidak mampu lagi meraih sokongan. Kini tumpuan senario politik Malaysia adalah untuk meraih sokongan masyarakat Melayu sahaja.
“Ini bermakna MCA dan MIC tidak akan menjadi pemain utama bahkan mungkin akan terus lenyap dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Mengulas sama ada front Umno – Pas akan menggugat Pakatan Harapan (PH) di kerusi-kerusi Melayu, Nizar berkata kerajaan pusat perlu segera memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu sekiranya mahu sokongan kaum itu pada pilihan raya akan datang.
“Kita di pihak PH perlu memperbaiki kedudukan kewangan dan ekonomi negara supaya semua kaum terutamanya orang Melayu miskin di kawasan pedalaman dapat menikmati manfaat daripada Kerajaan.
“Tetapi cabaran yang paling sukar sekarang ialah negara sedang mengalami kekangan kewangan yang amat perit. Hutang negara amat tinggi dan kita perlu juga membayar pampasan yang banyak untuk projek-projek mega yang telah ditunda atau dibatalkan.
“Saya hanya mampu menyeru rakyat bersabar kerana kami sedang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah hutang negara. Umum tahu hutang yang tinggi telah membantutkan usaha kami,” keluh Nizar.
Beliau menambah bahawa sebelum Pilihanraya Kecil Rantau di Negeri Sembilan, Kerajaan PH patut ambil langkah serius untuk menurunkan kos sara hidup dan harga barangan asas seperti telur (yang telah melambung naik terlalu tinggi) dan minyak masak.
“Saya tahu rakyat kini sedang marah terhadap Kerajaan PH. Justeru, kita mesti membuat sesuatu yang konkrit dengan serta-merta,” tegas Nizar.