DAP mengecam serangan kejam terhadap masjid-masjid di Christchurch yang telah menyebabkan ramai cedera dan terkorban.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, insiden itu bukan saja merupakan jenayah terhadap komuniti Muslim di Christchurch, tetapi melibatkan kemanusiaan secara menyeluruh.
“Tiada agama yang membenarkan keganasan terhadap orang yang tidak bersalah. Kejadian ini jelas bertentangan dengan ajaran semua agama.
“DAP berharap keluarga mangsa dan masyarakat di Christchurch dapat melalui peristiwa tragik ini dengan penuh kesabaran.
“Kami juga berharap agar mereka akan terus berada dalam keadaan sihat dan selamat serta cepat pulih,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menteri Kewangan itu berkata, beliau percaya bahawa kerajaan New Zealand pasti akan mengambil suatu tindakan segera untuk memastikan keadaan kembali terkawal dan menangkap mereka yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut.
“Dikesempatan ini, DAP berharap rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan itu selamat dan akan cepat sembuh.
“Doa dan harapan kami agar rakyat Malaysia dan masyarakat di Christchurch yang terperangkap kekal selamat,” katanya.