Biarpun pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau masih jauh, pada 13 April depan, namun pelbagai pihak telah membuat telahan awal siapakah yang bakal menang.
Ramalan yang masyhur tentulah menobatkan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mempertahankan kerusi itu. Bagaimanapun Tok Mat tidak semestinya menang sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menguasai naratif kempen.
Bagi ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim, beliau optimis calon PKR Dr. S. Streram mempunyai peluang lebih cerah untuk menang berdasarkan demografi pengundi di Rantau. Katanya, jumlah pengundi Melayu 52%, India 27% dan Cina 21% memberi sedikit kelebihan kepada PH.
“Saya berpendapat kalau semua pengundi India dan Cina menyokong PH dan memberikan kita 48% undi, kita tidak memerlukan banyak peratusan undi Melayu untuk meraih kemenangan. Namun begitu, kita mesti bekerja kuat untuk meyakinkan pengundi Melayu menyokong PH.
“Kita tahu pengundi Melayu akan dipengaruhi hujah pihak lawan bahawa orang Melayu sudah hilang kuasa di Malaysia. Kita perlu menangkis hujah itu dengan membuktikan hak Melayu tidak pernah diketepikan di bawah pentadbiran PH. Inilah cabaran yang perlu diatasi.
“Selain itu, kita perlu yakinkan semua golongan bahawa PH memerlukan masa untuk membaiki-pulih situasi kewangan dan ekonomi kerana itu harga barang masih mahal dan kos sara hidup tinggi. Saya berharap dengan hujah yang jelas ramai pengundi akan bersama PH,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, Suee Lim menegaskan Umno dan Pas pasti memberi tumpuan kepada isu hak Melayu dalam ceramah mereka tetapi apa yang penting PH perlu menekankan kerjasama semua bangsa diperlukan untuk negara mara ke depan dan hak Melayu akan dijaga seperti yang telah tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.