Satu gabungan NGO peneroka Felda menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan pelan rancangan pemulihan agensi tersebut dan mengekalkan bayaran pinjaman sara hidup.
Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) dilaporkan kecewa kerana kerajaan belum mengemuka rancangan tersebut dan ingin mengurangkan bayaran pinjaman tersebut.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, bayaran berkenaan perlu kekal dan kerajaan perlu menarik balik pekeliling mengenai penurunan kadar untuk pinjaman sara hidup itu, lapor Utusan Malaysia.
Beliau yang juga pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut menyifatkan langkah penurukan kadar bayaran itu sebagai pengkhianatan kepada peneroka.
Kadar bayaran semasa berdasarkan perjanjian dengan peneroka sejak sekian lama, maka Felda tidak boleh memberi alasan kedudukan kewangan lemah untuk mengurangkan bayaran, katanya.
“Dengan sumber kewangan yang ada sekarang kami tidak nampak mengapa perlu kurangkan bayaran pinjaman sara hidup ini. Lembaga pengarah Felda kena jawab.
“Dalam manifesto mereka kata setuju dengan perjanjian sedia ada maknanya mereka setuju kadar bayaran pinjaman sekarang malah berjanji akan tambah kadarnya.
“Tetapi kini lain yang terjadi apabila pengurusan tertinggi ambil keputusan untuk kurangkan,” katanya seperti dipetik dalam Laporan Utusan Malaysia.
Tegasnya, rancangan pemulihan Felda itu perlu dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali dalam laporan kertas putih ke atas agensi itu.
Tegasnya, PH perlu konsisten menunaikan janji kepada peneroka kerana golongan itu memberi sokongan besar kepada parti itu dalam PRU14.
“Dalam PRU lalu buat pertama kali dalam sejarah 19 kawasan Felda memberi kemenangan kepada PH dengan harapan mereka dapat menikmati hidup lebih baik dengan kerajaan baharu, terutamanya anak-anak muda Felda yang inginkan perubahan.
“Sekiranya pembaharuan tidak dibuat dan situasi ini berkekalan sampai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), saya ingin nyatakan bahawa sokongan ini akan hilang dan lenyap apabila kerajaan gagal beri perubahan dengan apa yang berlaku pada waktu ini,” katanya.
Mazlan dilaporkan turut menggesa pentadbiran Felda dirombak dan melantik lebih ramai anak peneroka ke dalam struktur organisasi itu.
Katanya, anak peneroka itu lebih memahami masalah sebenar dalam agensi tersebut dan perlu penggantikan individu yang disifatkannya tiada roh Felda.
“Pelantikan pengurusan baharu dalam kalangan orang yang tiada roh Felda menjadi punca mengapa dasar-dasar yang ditetapkan menyimpang daripada objektif sebenar penubuhan Felda dan usaha kerajaan PH mereformasi Felda,” katanya. – TMI