Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan pada 25 Mac lalu Kerajaan Pakatan Harapan memerlukan 3 tahun untuk membaiki-pulih keadaan ekonomi dan kewangan negara.
Bagi Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang, tempoh 3 tahun itu boleh dikurangkan sekiranya rakyat saling bantu membantu kerajaan pusat.
Sebaliknya, menurut Lih Kang, andainya rakyat termakan hasutan pembangkang dan mempersoalkan setiap strategi kerajaan dan meminta terlalu banyak peruntukan untuk hal-hal tertentu maka tempohnya akan lebih lama dan menyakitkan.
“Proses membaikpulih ini amat bergantung kepada sokongan dan kerjasama dari semua rakyat Malaysia. Seperti yang telah diberitahu oleh PM kita, rakyat kenalah ‘ikat perut sedikit’.
“Ini kerana negara kita telah dibebani hutang RM1 trilion yang diwarisi dari Kerajaan BN. Namun begitu, kita harap rakyat akan bersabar dan faham akan masalah yang sedang dihadapi oleh Kerajaan PH pada ketika ini.
“Kita juga tahu rakyat kurang puas hati dengan PH setelah kita kalah di Cameron Highlands dan Semenyih.
“Kerajaan PH akan meringankan beban rakyat sejauh mana kita boleh dan selaras dengan itu, kita telah pun memberi dana kepada pengusaha ladang kelapa sawit dan akan memberi subsidi minyak kepada golongan B40,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Lih Kang menambah Kerajaan PH bukan sahaja perlu mengatasi cabaran ekonomi tetapi juga terpaksa berdepan dengan puak-puak rasis dari pembangkang yang sedang bermati-matian memecah-belahkan masyarakat dengan ucapan-ucapan dan ceramah-ceramah mereka yang sarat dengan unsur-unsur sentimen perkauman.
Dengan yang demikian, katanya, tumpuan Kerajaan PH selain daripada terhadap urusan mentadbir, terpaksa juga membuang masa untuk memberi fokus kepada urusan memupuk semangat perpaduan di antara kaum.
“Saya harap rakyat akan menilai prestasi kita dengan cara yang rasional dan pengundi dalam PRK di Rantau khususnya akan mengundi dengan bijak pada 13 April nanti.
“Kuasa adalah di tangan rakyat untuk mengukuhkan atau melemahkan kerajaan. Oleh itu, semoga rakyat akan membantu PH supaya PH boleh membantu rakyat. Rakyat Malaysia harus ingat bahawa pertelingkahan di antara kaum hanya akan memusnahkan negara,” katanya lagi.