Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong keputusan Putrajaya untuk menarik balik ratifikasi terhadap Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berkata protes terhadap perjanjian itu sengaja diada-adakan bertujuan menggulingkan kerajaan.
Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata ada motif tersembunyi untuk menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri.
“Diragui mereka yang memprotes di jalanan ada pemahaman tentang Statut Rom ICC, dan bagaimana ia mencabar Perlembagaan kita dan kedudukan Raja-raja Melayu.
“Seperti dalam kebanyakan kes kempen jahat, mula-mula kumpulan persembahan kilat (flash mob) akan digerakkan. Atau dalam modus operandi biasa parti pembangkang, ketua pusing cerita akan menjadikan seperti ia cerita sebenar.
“Kemudian, individu atau ahli politik yang menjadi dalang masuk dan mengambil kesempatan atas kekecohan itu,” kata Arshad dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, selepas membaca kenyataan menteri tentang langkah pusingan U itu dan daripada pemantauan acara yang berlaku, Arshad berkata Patriot “memahami gambaran besarnya”.
“Kami bersetuju dengan keputusan perdana menteri untuk menarik balik keputusannya meratifikasi Statut Rom,” katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya tidak akan meratifikasi Statut Rom kerana “kekeliruan politik” berhubung isu itu.
“Mengenai isu ini, mereka nak cuba gunakan untuk memburuk-burukkan kerajaan terutama saya pengkhianat kepada bangsa saya.
“Tak apalah nak panggil pengkhianat. Mereka lebih pengkhianat daripada saya,” kata Dr Mahathir yang tidak menamakan individu terlibat. – TMI