Kajian Merdeka Centre baru-baru ini bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya memperolehi 39% sokongan rakyat berbanding 79% ketika memenangi pilihan raya umum ke 14, setahun lalu agak membimbangkan.
Mengulas keadaan yang kritikal itu, Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad berkata, kekurangan sokongan itu lebih kepada protes rakyat terhadap kegagalan kerajaan menunaikan beberapa janji manifesto.
Namun menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, kerajaan sedaya-upaya akan menunaikan janji yang belum dipenuhi dalam tahun-tahun akan datang agar rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding era pemerintahan BN.
“Kita tetap berusaha dengan gigih untuk menepati janji dan memenuhi aspirasi rakyat.
“Namun demikian saya harap rakyat akan terus bersabar serta memberi kita sokongan dan masa untuk melakukan yang terbaik sebab kerajaan yang terdahulu hampir mufliskan negara, mengakibatkan PH terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi serta keadaan kewangan yang sukar dan tertekan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Bagi pemerhati ekonomi, Jameson Tan, rakyat amat tidak realistik apabila mengharapkan kesemua janji boleh ditunaikan dalam masa setahun. Katanya, mereka yang termakan dengan dakyah pembangkang bahawa kerajaan telah menipu (kencing) sepatutnya lebih rasional dalam menilai propaganda parti lawan.
“Kerajaan PH mengalami kesusahan untuk menepati janji manifesto disebabkan kekangan kewangan. Oleh itu, keadaan akan mengambil masa yang lama untuk dibaik-pulih dan bukan dalam masa setahun-dua.
“Lagipun ekonomi dunia sedang mengalami penurunan. Ini bererti bukan sahaja situasi di Malaysia adalah sukar bahkan situasi di dunia pun susah juga,” katanya.
Jameson memberi contoh di United Kingdom, di mana rangkaian pusat membeli-belah ‘Debenhams’ akan menutup sebanyak 50 buah cawangan yang tidak menguntungkan (disebabkan faktor ‘online shopping’) dan selepas penutupan tersebut hanya 116 buah cawangan yang akan terus beroperasi.
“Rakyat Malaysia harus memberi peluang dan masa kepada Kerajaan. Terlalu terburu-buru tidak akan mencapai matlamat sebab ‘kemusnahan’ yang telah berlaku sebelum PH menjadi kerajaan adalah terlalu teruk dan nyaris-nyaris Malaysia menjadi bankrap,” katanya lagi.