Kerajaan Pulau Pinang mahu suatu mesyuarat khas bagi membincangkan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) diadakan dalam masa terdekat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, surat permohonan supaya diadakan mesyuarat tiga hala melibatkan Kedah, Pulau Pinang dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke itu telah dihantar kepada Kementerian Pengangkutan, kelmarin.
“Sebelum ini Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ada meminta agar perbincangan antara Kedah, Pulau Pinang dan menteri diadakan bagi membincangkan cadangan pembinaan KXP.
“Namun sejak 26 Februari lalu, masih tiada maklum balas daripada pihak kementerian. Kita harap mesyuarat ini dapat diaturkan dan tiada cadangan tarikh diberikan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, saranan untuk diadakan mesyuarat tiga hala itu telah tercatit dalam minit mesyuarat yang diadakan pada Februari lalu.
“Saya harap mesyuarat ini dapat diadakan sebelum Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri diadakan pada Julai nanti,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang itu meminta agar kerajaan persekutuan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum pembinaan KXP.
Jelasnya, kajian itu perlu bagi mengkaji keseluruhan impak termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi Pulau Pinang.