Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi menyanggah keterangan saksi ke-29, bekas pensyarah forensik patologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shahrom Abd Wahid dalam pendengaran kes kematian anggota bomba, allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di hadapan Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.
Dr Ahmad Hafizam yang dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan berkata mustahil lebam berbentuk segi tiga pada lengan kanan bahagian atas arwah disebabkan oleh struktur pada daun pintu van EMRS.
“Ia adalah struktur lekukan (pada daun pintu EMRS), tak ada dinding kiri, dinding kanan, dan tapak seperti (corak) kecederaan (pada lengan Adib).
“Tapi jika diletakkan gambar segi tiga ini, dan diambil gambar (daun pintu van) dari satu arah untuk menunjukkan (seolah-olah ada segi tiga), ia memang boleh mengelirukan.
“Sebagai pakar yang melakukan bedah siasat, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan penjelasan, puan koroner,” katanya memberitahu mahkamah.
Menurut beliau lagi berdasarkan pemeriksaan semula dan eksperimen ke atas van EMRS pada 12 April 2019, langsung tiada struktur berbentuk segi tiga pada daun pintu hadapan sebelah kiri van tersebut yang boleh mendatangkan kesan kecederaan seperti terdapat pada lengan arwah Adib.
Pada 17 April lalu, Shahrom ketika memberi keterangan di hadapan koroner mencadangkan lebam berbentu segi tiga pada lengan Adib sesuai dengan ‘tombol getah berbentuk segi tiga’ pada daun pintu EMRS, dan disebabkan impak pintu yang ditendang, melantun, dan ditendang sekali lagi oleh penyerang.
Menurut Shahrom (gambar, bawah) tidak mustahil anggota bomba itu ditarik keluar dari van EMRS dalam tempoh lima hingga lapan saat ketika rusuhan di Kuil Seafield akhir tahun lalu.
Ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad hari ini, Hafizam memberi penjelasannya dengan bantuan slaid.
Beliau turut menunjukkan slaid gambar yang digunakan Shahrom, yang menunjukkan gambar kecederaan berbentuk lebam segi tiga yang diletakkan bersebelahan dengan gambar daun pintu hadapan sebelah kiri EMRS, yang dilukiskan sebentuk segi tiga berwarna merah.
Hafizam selaku saksi ke-24 hadir memberi keterangan selepas Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 30 April membenarkan permohonan pegawai pengendali inkues memanggil semula dirinya bagi prosiding berkenaan.
Hafizam merupakan doktor yang bertanggungjawab mengendalikan bedah siasat ke atas arwah Adib.
Mengulas lanjut, Hafizam menjelaskan, dalam eksperimen dijalankan, kesan segi tiga itu turut tidak kelihatan apabila daun pintu yang diwarnakan dihimpit pada badan seorang model mempunyai berat dan ketinggian hampir sama dengan arwah Adib.
Dakwanya, sekiranya benar kecederaan Adib disebabkan terhimpit antara daun pintu dan jenang, maka kesan yang lebih besar dan panjang sepatutnya kelihatan pada bahagian depan dan belakang tubuh arwah.
Malah, kesan yang terhasil daripada panel di sebelah dalam pada badan pintu sepatutnya lebih kelihatan kerana lebih tertonjol berbanding lekukan pada daun pintu, seperti yang kelihatan pada corak yang terhasil ketika eksperimen.
“Kita dapati, jika tersepit daun pintu kiri, kecederaannya lebih besar, dan panjang berbanding ini (kecederaan Adib).
” Eskperimen Prof Dr Shahrom sendiri (terhadap patung) menunjukkan kecederaan sampai bawah, tetapi yang diukur (dalam laporannya) sampai sini (sebahagian daripada corak).
“Apa bezanya warna hitam ini (sebahagian atas) dengan hitam yang bawah ini? Kedua-duanya menghasilkan kecederaan, tapi yang diukur hanya struktur (corak) yang menarik minat sahaja, tanpa memberikan justifikasi.
“Oleh itu, jika teori ini (terhimpit) hendak diguna pakai, kecederaannya dari atas sampai abdomen, tapi gambar klinikal jelas, di bawah ini, tiada sebarang kecederaan. Kecederaan hanya tertumpu atas dada kanan, tidak melibatkan puting kanan atau bdomen atas atau bawah,” jelasnya lagi.
Hafizam turut menunjukkan gambar Adib ketika pemeriksaan dijalankan yang menunjukkan tiada luka kelihatan pada bahagian belakang badannya.
“Stuktur jenang (yang dikatakan menghimpit bahagian belakang arwah) bukan nipis seperti hujung daun pintu. Struktur ini keras dan lebar, tapi tak ada (kesan).
“Tak ada sebarang kecederaan luaran, sama ada di kiri atau kanan (belakang badan), kecuali satu lukar calar melintang pada kiri, yang telah diperstujui disebabkan sagat struktur plat dasar (strike plate) sebelah kiri,” katanya lagi.
Pegawai pengendali inkues yang melakukan pemeriksaan ialah Faten Hadni Khairuddin.
Memandangkan kesuntukan masa, koroner Rofiah memutuskan inkues disambung pada hari Selasa sehingga Jumaat minggu depan.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember, 9.41 malam di Institut Jantung Negara setelah kecederaan yang dialaminya pada malam rusuhan.
Inkues diadakan berikutan terdapat dua versi yang timbul berhubung punca kematian Adib. – mkini