Tidak menjadi satu kesalahan kepada wakil rakyat bukan Islam yang agihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perkara itu tidak harus dijadikan isu asalkan ia tidak diseleweng.
“Saya ingin menjelaskan tentang kekeliruan isu yang sedang tular di media sosial berkaitan zakat yang diagihkan kepada golongan asnaf oleh beberapa wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang.
“Saya hanya beri penjelasan dari sudut hukum fiqah iaitu harus orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.
“Ini hanya berkaitan dengan Muamalat dan Ibadah Maliyah. Tetapi ibadah yang berbentuk fizikal seperti solat dan puasa tidak harus diwakilkan kepada orang lain untuk melakukannya,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, Zakat Pulau Pinang hanya menyalurkan zakat menerusi pelbagai pihak termasuk wakil-wakil rakyat Muslim dan bukan Muslim untuk disampaikan kepada golongan asnaf.
“Sebagai Mufti saya ingin menyeru umat Islam supaya tidak membesarkan perkara remeh seperti ini, sebaliknya perlu lebih menumpukan perhatian kepada hal-hal yg lebih penting bagi memacu pembangunan ekonomi dan pendidikan umat agar mencapai kedudukan yang lebih tinggi dan setanding dengan kaum-kaum lain,” katanya.