Pemimpin PKR akan mengadakan temu rapat di hotel mewah Lexis Hibiscus di Port Dickson hujung minggu ini, di saat pergeseran presiden Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali tidak menunjukkan tanda untuk reda.
Menerusi ciapan di Twitter hari ini, Anwar berkata beliau menanti-natikan temu rapat kali ini dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual memberi ucapan malam ini.
“Menanti-nantikan temu rapat Keadilan (PKR) – kami bersatu dalam soal kesusahan rakyat,” katanya.
Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson turut menggesa semua agar “berhenti sejenak”.
“Mari berhenti sejenak (take a step back) dan tidak lupa isu-isu yang penting,” katanya ketika membalas ciapan aktivis Cynthia Gabriel.
Gabriel yang merupakan pengarah eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) menggesa PKR untuk “bangun dari tidur sebelum terlambat”.
“Hello PKR… Anda tidak boleh kecewakan kami rakyat Malaysia yang masih teguh yakin dengan agenda pelbagai kaum demi masa depan negara.
“Anda satu-satunya parti yang mendukung perkara ini… Bangun sebelum terlambat,” katanya.
PKR untuk beberapa tempoh terbahagi kepada penyokong Anwar dan Azmin namun keadaan itu kelihatan bertambah buruk sejak beberapa bulan ini susulan tersebarnya video seks yang mengaitkan Azmin.
Spekulasi mengatakan ia berkaitan dengan perebutan jawatan perdana menteri susulan dakwaan bahawa Mahathir lebih memilih Azmin untuk menggantikannya, walaupun dengan persetujuan awal Anwar akan mengambil tempat itu.
Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi yakin pihak yang bertanggungjawab di belakang klip video itu adalah dari dalam PKR.
Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan pemimpin sebuah parti politik sebagai dalang satu “pakatan jahat” untuk mengaibkan individu tertentu.
Anwar telah menafikan penglibatannya tetapi setiausaha politiknya antara yang ditahan berhubung kes tersebut.
Polis juga berkata sementara kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi, proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan Azmin.
Bekas ketua pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang kini dalam tahanan polis, mendakwa dirinya dan Azmin sebagai orang yang dirakam dalam video tersebut. – mkini