Kritikan bertali arus terhadap projek memajukan Kampung Bharu di Kuala Lumpur oleh pembangkang tidak sepatutnya dilakukan secara keterlaluan.
Apatah lagi menghentam pembinaan menara 90 tingkat yang dianggap projek membazir kerajaan Pakatan Harapan (PH), sedangkan hal itu masih belum muktamad.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, rancangan berkenaan masih di peringkat konsep arkitek dan pembinaan menara itu sekiranya menjadi kenyataan, hanya akan dibina pihak swasta dan bukan oleh kerajaan.
“(Pembinaan menara) itu pun cadangan, hanya idea arkitek yang kata kita kena ada menara ikonik. Kalau hendak bina pun bukan dibina oleh kerajaan.
“Bangunan komersial akan dibina oleh syarikat, contohnya macam Petronas, CIMB atau Felda untuk buat menara,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Tambahnya, konsep berkenaan masih boleh dibincangkan lagi manakala pembangunan komersial hanya akan dibuat berdasarkan permintaan semasa.
“Pembangunan bukan akan berlaku serta merta, ia berlaku dalam tempoh 10 hingga 20 tahun perancangan. KLCC pun bukan dibina dalam tempoh lima ke enam tahun.
“Sekarang pun KLCC pun ada fasa belum habis di bina, pembinaan akan makan masa. Kalau pasaran tiada permintaan takkan dibina lagi,” soalnya kembali.
Beliau berkata keutamaan pada masa ini adalah mendapatkan tanah tersebut terlebih dahulu, yang kini masih berdepan tentangan pemilik.
“Butiran pembangunan kita akan dapatkan persetujuan penduduk dahulu, bila semua dah setuju baru kita mulakan proses jual beli, kita kena muktamadkan juga.
“Apabila sudah muktamad baru kita buat lebih terperinci, Ini baru permulaan,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.
Khalid juga memberi jaminan keutamaan akan diberikan kepada pembinaan kawasan kediaman yang akan dijalankan dalam tempoh 10 tahun.
Seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Kampong Bharu juga berkata perolehan tanah itu perlu diutamakan kerana pembangunan tak akan dapat dilakukan sekiranya ia tidak diambil alih.
“Kerajaan fokus untuk ambil tanah dahulu, kemudian baru fikirkan rancangan pembangunan yang muktamad, sebab kita sudah banyak kali buat pelan konsep tapi tak jadi,” katanya.
Pelan konsep pembangunan yang dicadangkan itu melibatkan 10 komponen pembangunan yang antara lain merangkumi taman warisan dan kebudayaan seluas 28 ekar.
Lokasi berhadapan taman warisan pula dicadangkan untuk pembangunan kediaman eksklusif Residensi Park View.
Pelan konsep berkenaan turut merangkumi kawasan perumahan mampu milik Residensi Wilayah serta perumahan kepadatan tinggi.
Sebanyak 50% daripadanya, atau 45,000 kediaman yang dirancang adalah rumah mampu milik, berbanding 4,500 kediaman sedia ada sekarang.
Ia bagi menempatkan penduduk yang dijangka meningkat seramai 160,000 orang dengan pembangunan tersebut, dengan keluasan pembangunan ruang lantai 85 juta kaki persegi
Pelan itu juga memuatkan kawasan pembangunan bercampur dan perdagangan merangkumi menara, pejabat dan hotel serta institusi dengan keluasan ruang lantai 9 juta kaki persegi.
Sebanyak 10% daripada keseluruhan ruang lantai itu diperuntukkan kepada unit komersial mampu milik, menurut pelan terseut.
Rancangan pembangunan ini melibatkan kira-kira 825 lot tanah, melibatkan harta milik 5,359 penduduk.
Putrajaya menawarkan harga RM850 untuk sekaki persegi bagi lot tanah pemilik, yang dibantah pemilik kerana berpendapat ia terlalu rendah. – RF8 Media