Pasca pembentangan Belanjawan 2020, rakyat masih merasakan penurunan harga barang menjadi penentu kepada rasa berterima kasih mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan biar pun diberi pelbagai jenis bantuan.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran berkata penurunan harga barang mampu mengurangkan bebanan hidup golongan B40 dan sesetengah M40. Tanpa penurunan itu, menurutnya, bantuan akan segera ditelan inflasi.
“Belanjawan 2020 nampaknya bagus sebab semua sektor dan lapisan masyarakat akan mendapat sesuatu bantuan. Tetapi pada pendapat saya, faktor yang paling penting masih lagi harga barang dan kos sara hidup.
“Kalau harga barang masih tinggi, bantuan kewangan dari BSH (Bantuan Sara Hidup) yang diberi oleh kerajaan tidak akan memberi apa-apa kelebihan kepada warga marhaen sebab BSH yang ‘extra’ itu akan dihakis oleh harga barang yang tinggi atau yang telah mengalami peningkatan.
“Di sini harga barang yang saya maksudkan itu hanyalah barangan biasa seperti barangan kegunaan harian, barangan dapur dan juga bahan makanan yang dibeli dari pasar pagi setiap hari,” katanya.
Manogaran memberi contoh 800 gram minyak masak ghee (yang digunakan untuk masakan masyarakat India) berharga RM35 pada tahun lalu tetapi melebihi RM45 tahun ini. Selain itu, katanya, botol plastik kosong untuk menyimpan biskut (bagi peniaga) telah mengalami kenaikan harga dari RM1.65 tahun lalu kepada RM2.10 tahun ini.
“Ini adalah kerana nilai matawang Malaysia lemah.
“Justeru itu, saya berharap Tahun Melawat Malaysia 2020 akan melihat jumlah angka kedatangan pelancong asing yang banyak (bagi meningkatkan tukaran wang asing dan perbelanjaan pelancong).
“Kita juga perlu mengerakkan sektor industri dengan lebih giat supaya lebih barangan boleh diekspot. Negara kita amat memerlukan penjanaan pendapatan.
“Tetapi apa yang paling penting dan wajar sekarang ialah retorik perkauman patut dihentikan dengan serta-merta terutamanya retorik yang disebarkan oleh puak-puak tertentu yang berniat jahat.
“Ingat, kalau pelabur asing tidak mahu melaburkan modal di sini, maka akhirnya rakyat Malaysia tidak kira kaum atau agama akan dilanda kesusahan apabila kilang terpaksa ditutup dan rakyat hilang pekerjaan,” tegasnya. – RF8 Media