Usaha menjejaki lelaki didakwa sebagai rakan subahat penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho akan diteruskan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia tidak pernah berputus asa dan akan mencari individu itu sehingga ke ‘lubang cacing’ sekalipun.
Pihak berkuasa polis tegasnya turut menjalinkan kerjasama bersama Interpol (polis antarabangsa) bagi membawa pulang lelaki tersebut.
“Kita masih berusaha, tak boleh putus asa. Apapun kita nak dia dibawa ke Malaysia hadapi mahkamah dan serah kepada mahkamah tentukan
“Walaupun ada sikit sebanyak maklumat yang kita dapat tahu di mana dia (Jho Low) berada, walaupun dapat kerjasama dengan Interpol sudah naikkan ‘red flag’ (amaran), tetapi kalau tiada kerjasama negara yang mana kita agak Jho Low ada di situ, jadi agak sukar nak ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini pihak berkuasa Malaysia dalam membawa pulang Jho Low, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terbaharu, Jho Low dilaporkan telah mendapatkan taraf warganegara di negara Mediterranean, Cyprus.
Dia turut didakwa telah melakukan pembedahan plastik bagi menukar rupa parasnya. – RF8 Media