Kira-kira 95 peratus baja subsidi telah diagih Pertubuhan Peladang kebangsaan (Nafas) kepada pesawah untuk musim kedua tanaman padi.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi bagaimanapun berkata, baki pesawah yang masih belum menerima bekalan baja subsidi itu dapat bersabar dan beliau yakin mereka akan menerimanya dalam tempoh terdekat.
“Jika ada yang membangkitkan isu baja subsidi ini sebenarnya ia sudah selesai, yang mana kini sebanyak 95 peratus telah diedarkan kepada pesawah.
“Sekarang, sudah tidak ada masalah,” katanya pada satu program di Alor Setar, Kedah.
Difahamkan, berlaku sedikit kelewatan baja subsidi untuk musim kedua penanaman padi disebabkan permohonan semula perlu dilakukan.
“Sekarang sudah 95 peratus diagihkan dan pesawah yang menerima memahami perkara itu dan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) turut memberitahu perkara sama iaitu sudah terima,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, sehubungan itu pesawah tidak perlu risau mengenai bekalan baja subsidi untuk musim kedua penanaman padi itu. – RF8 Media