Faiz Fadzil
1. Penurunan harga petrol RON95 dan RON97, serta diesel, baru-baru ini adalah sejajar kejatuhan mendadak harga minyak mentah di pasaran dunia. Harga minyak mentah Brent dunia yang pernah berharga lebih AS$74 satu tong setahun yang lepas, kini telah jatuh ke lingkungan AS$45 setong. Pakar-pakar ekonomi termasuk pakar ekonomi Putra Business School Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mengaitkan kejatuhan harga minyak dunia ini dengan wabak COVID-19 yang menyebabkan ekonomi perlahan dan merosotnya aktiviti sektor pengangkutan yang memberikan kesan kepada penggunaan minyak.
2. Penjimatan yang dinikmati rakyat Malaysia ini adalah lanjutan sistem subsidi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dengan menetapkan harga runcit maksima RON95 pada RM2.08. Ini adalah untuk melindungi rakyat Malaysia daripada turun naik (fluctuation) harga minyak mentah dunia, di mana kerajaan akan menanggung tambahan harga runcit RON95 di atas paras RM2.08. Sebarang harga di bawah RM2.08 memberi penjimatan untuk rakyat.
3. Ramai tidak mengetahui bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telah menyuntik lebih daripada RM12 bilion secara tidak langsung ke dalam poket rakyat hanya dalam tempoh 20 bulan ia memerintah iaitu Mei 2018 hingga Disember 2019, menerusi “fuel subsidy” atau subsidi produk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG). Sebelum Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, rakyat terdedah kepada risiko turun naik harga minyak dunia selepas subsidi petrol dan diesel dipotong secara drastik oleh pentadbiran Barisan Nasional bawah Najib Razak dan harga bahan bakar diapungkan mengikut harga pasaran global.
4. Bantuan “fuel subsidy” oleh Kerajaan Pakatan Harapan ini telah membantu mengurangkan beban sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 dan anak muda. Sejak Mei 2018, rakyat Malaysia telah membayar harga petrol dan diesel jauh di bawah harga runcit global dengan adanya subsidi daripada kerajaan. Diharapkan usaha-usaha memastikan kos sara hidup kekal terkawal dapat diteruskan untuk kebaikan rakyat Malaysia bersama, tanpa mengabaikan kedudukan fiskal negara.