Presiden PKR Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan berkenaan pakej ransangan ekonomi kerajaan Melayu Perikatan Nasional yang menurutnya bergantung kepada “dana pinjaman”.
Anwar mendakwa sekitar RM100 bilion daripada RM250 bilion yang disuntik dalam pakej itu berupa berkaitan penangguhan pinjaman bank, RM40 bilion lagi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, RM60 bilion berkaitan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), dan RM50 bilion daripada Danajamin Nasional Berhad yang sebahagiannya dimiliki Ministry of Finance Inc (MOF Inc).
“Jadi kalau kita kumpulkan semua itu, (jumlahnya) RM250 bilion. (Tetapi) balik kepada persoalan pangkal iaitu RM22 bilion yang diperuntukkan.
“Apakah tidak baik? (Ia) baik kerana menyentuh masalah rakyat. Saya tetap menyokong langkah yang membantu rakyat terutama golongan B40, tetapi penyelesaian ekonomi dalam pakej rangsangan mesti menyeluruh.
“Bagaimana kita nak pacu ekonomi biar ia bergerak? Dua bulan, kita tampung melalui pinjaman,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.
Anwar menekankan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, yang menurutnya memberi kesan kepada produktiviti negara dan kadar pengangguran.
“Ini (PKS) penjana terkuat dalam negara kita. Dalam ekonomi negara berkembang seperti Malaysia, peranan PKS amat penting, dan kita belum beri penekanan bagaimana nak merangsang supaya mereka (terus) hidup.
“Produktiviti negara dan pengangguran akan banyak terkesan kalau kita tidak tangani masalah ini, kerana mereka (PKS) menampung sebilangan besar pekerja…,” katanya lagi.
Katanya, usaha menjana ekonomi selepas ini merupakan cabaran terbesar dalam pakej rangsangan ekonomi.
“Ini cabaran besar kita…Mesti memberi keyakinan bahawa kita boleh mengangkat ekonomi (dan jangan) setelah dua, tiga bulan memberi habuan, kemudian terhutang.”
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin, selain pakej rangsangan ekonomi yang telah pun diumumkan Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri sementara pada 27 Februari.
Pakej itu antara lain bertujuan mengurangkan kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac hingga 14 April ini.
Pada masa sama, Anwar menggesa perbahasan di Parlimen diadakan berkenaan belanjawan tambahan yang perlu untuk mendanai pakej rangsangan ekonomi bagi mendepani wabak Covid-19.
“Dalam negara yang (mengamalkan) sistem demokrasi berparlimen, Parlimen mesti diajak bersidang, membahaskannya.
“Kita sokong perkara yang baik. Ada rencana baik yang disebut dalam ucapan semalam.
“Saya sokong, tetapi kita harus bahaskan kerana semua anggota Parlimen bertanggungjawab dalam memberikan satu kebijakan ekonomi untuk masa depan kita,” katanya.
Anwar juga memberi peringatan terhadap kemungkinan “pelaksanaan kucar-kacir” pakej rangsangan tersebut.
“Pihak yang meremehkan soal pelaksanaan ini sebenarnya tidak belajar (daripada kesilapan yang pernah berlaku). Berapa banyak wang bantuan yang dicuri orang tengah…berapa banyak wang orang miskin yang diambil oleh syarikat pertengahan?
“Bilion ringgit akan tercicir jika tidak ikut proses yang telus dan bertanggungjawab.
“Sebab itu saya anggap perbahasan di Parlimen masih sangat mendesak dan patut disegerakan,” katanya lagi.