Melihat situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 dan 2 sebelum ini pengumuman penyambungan PKP biasanya dibuat seminggu awal. Bagaimanapun, tinggal enam hari sahaja lagi sebelum PKP fasa 3 tamat namun pihak kerajaan tidak membuat apa-apa pengumuman penyambungan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kerajaan sehingga ini masih belum membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan tempoh PKP atau tidak apabila fasa ketiga berakhir
Katanya, kerajaan masih memantau data berdasarkan perkembangan harian untuk memastikan sama ada terdapat keperluan untuk melanjutkan PKP, yang mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, atau sebaliknya.
Dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan semalam Noor Hisham memberitahu, keputusan sama ada untuk melanjutkan PKP atau sebaliknya, masih belum dibuat.
Bagaimanapun jelasnya, terdapat beberapa kriteria yang perlu terlebih dahulu dipertimbangkan, iaitu antaranya memastikan kawalan sempadan terjamin melalui saringan dan meletakkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di bawah kuarantin.
Selain itu tambahnya, sejauh mana keberkesanan PKP perlu dilihat dan diperhatikan.
Katanya, untuk itu, Kementerian Kesihatan mesti berupaya bekerjasama dengan komuniti untuk menguatkuasakan langkah penjagaan dalam masyarakat terbabit.
“Inilah rangka kerja yang kita miliki dan ia perlu diamalkan oleh semua kementerian untuk melihat bagaimana strategi jalan keluar daripada krisis ini boleh didapatkan,” kata Dr Noor Hisham.