Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor yang semakin bergolak memungkinkan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri sebagaimana yang diinginkan Umno.
Namun Pakatan Harapan (PH) Johor menawarkan pilihan yang lebih mudah, iaitu Bersatu kembali membentuk kerajaan negeri.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, PH tidak ada halangan dan bersedia menerima bekas sekutunya itu kembali.
Menurut Salahuddin, Umno Johor yang “masih sarat dengan warisan saka” akan memperlakukan Bersatu sebagai budak suruhan dan tidak mungkin berlaku adil kepada parti ‘setahun jagung’ itu.
“Kepada rakan-rakan dalam kerajaan PN yang menang atas mandat PH dalam pilihan raya yang lalu, jalan kebenaran penuh bermaruah masih belum jauh di belakang.
“Kami kepimpinan PH bersedia untuk nenerima anda semua kembali ke dalam keluarga besar PH,” katanya dalam kenyataan.
Salahuddin turut berkata, beliau percaya pengalaman PH dan Bersatu Johor sebelum ini “lebih mulia dan harmoni” berbanding situasi dalam PN ketika ini yang menurutnya penuh prasangka dan sengketa.
“Kembalilah ke jalan kebenaran. Biar mati berdiri, daripada hidup menghamba diri,” ujarnya lagi.
Salahuddin berkata demikian sebagai respons terhadap perseteruan antara Umno dan Bersatu di Johor, yang timbul susulan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan politik di beberapa agensi kerajaan.
Bersatu Johor sebelum ini mendakwa pelantikan politik, termasuk untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, tidak dilakukan secara adil dan menuduh Umno mengetepikannya.
Sumber pemimpin kanan Umno Johor memberi amaran bahawa ketegangan yang berlaku itu boleh menyebabkan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan.