Kerajaan Perikatan Nasional mendapat tamparan pertama dalam membuka kembali ekonomi apabila separuh jumlah negeridi Malaysia menolak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei.
Kedah, Sabah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan PKPB. Senarai tersebut ditambah apabila Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan juga akan menunda pelaksanaan PKPB di negeri masing-masing.
Kerajaan Pahang memutuskan untuk tidak melaksanakan PKPB dan mahu mengkaji kesesuaiannya dengan kedudukan semasa penularan wabak pandemik COVID-19 di negeri itu.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, keputusan melaksana PKPB akan dibincang secara lanjut pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri petang Jumaat, 8 Mei 2020.
“Sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, masih kekal”.
Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan Kerajaan Pusat.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, susulan keputusan itu, Sabah mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei ini.
“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus itu.
“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.
Di Selangor, tidak semua industri akan dibenarkan beroperasi pada Isnin, tegas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jelasnya, beliau akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan cara penguatkuasaan dan garis panduan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.
Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, PKPB tidak boleh dilakukan di negeri itu buat masa ini.
“Berdasarkan pada mesyuarat pagi ini, Pulau Pinang akan melaksanakan strategi berperingkat dalam menangani COVID-19
“Esok, 4 Mei, PKP masih berkuatkuasa di Pulau Pinang. Dalam kata lain, hanya syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi ketika PKP 1, PKP 2, dan PKP 3 masih boleh beroperasi esok,” kata Kon Yeow
Manakala, Negeri Kelantan pula baru sahaja mengumumkan pihak kerajaan negeri tidak akan mengikuti pelaksanaan PKPB di negeri tersebut.
Menurut kenyataan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Hj Ahmad Yakob – perkara tersebut perlu diperhalusi dan diteliti semula oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) negeri pada 7 mei ini. Segala keputusan akan dimaklumkan semula.