Bayangkan gaji dan elaun seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di institusi kewangan dan pengerusi lantikan politik dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah dari RM50,000 hingga RM2 juta sebulan.
Daripada jumlah lantikan itu, kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit sebulan wang rakyat untuk membayar gaji mereka sedangkan golongan marhaen berdepan dengan kehilangan pendapatan, pekerjaan dan gaji dipotong kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pendemik Covid-19.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali ketika mengulas isu berkaitan jumlah gaji dan lantikan secara politik oleh kerajaan berkata, beliau ada berkomunikasi dengan pemimpin veteran dan berpengalaman, Tengku Razaleigh Hamzah.
Menurutnya, walaupun bekas Menteri Kewangan itu agak keberatan pengalamannya dikongsi namun akur setelah dipujuk Ibrahim dengan alasan sebagai maklumat untuk ilmu, motivasi dan kepimpinan tauladan.
Kata Ibrahim, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li ada memberitahunya ketika di zaman 70-an, gaji paling tinggi diluluskan Parlimen untuk Perdana Menteri sahaja sebanyak RM3,750 sebulan tidak termasuk lain-lain elaun.
“Apabila Ku Li dilantik Pengarah Urusan Bank beberapa tahun selepas itu (tahun 70-an), dia hanya menerima gaji penuh RM3,750 sebulan dengan tiada elaun lain.
“Ku Li beritahu saya, bonus ketika itu dihadkan kepada dua bulan gaji sahaja. Tambahan pula dia juga menyandang jawatan Pengerusi Executive Pernas yang tidak bergaji dan tidak ada elaun. Bahkan, tidak ada elaun keraian atau elaun seberang laut.
“Kalau ada kerja di seberang laut, katalah semasa hendak ambil alih Sime Darby, London Tin, Highlands dan Lowlands serta lain-lain lagi, tugas itu (Pengerusi GLC) mesti digabungkan dengan kerja bank (Pengarah Urusan Bank) untuk menjimatkan belanja,” kata Ibrahim kepada MalaysiaGazette, mendedahkan komunikasinya dengan Tengku Razaleigh menerusi aplikasi Whatsapp.
Dedah beliau, Ahli Parlimen Gua Musang itu juga tidak menerima gaji sebagai Pengerusi Eksekutif Petronas walaupun jawatan pertama yang ditakrifkan bertaraf menteri oleh kerajaan ketika itu.
“Tidak ada kereta atau pemandu dibekal. Semuannya sendirian berhad termasuk belanja minyak dan bayaran kerja lebih masa pemandu.
“Kalau menyandang jawatan pengerusi, syarikat-syarikat subsidiary juga tidak dibayar elaun. Dia hanya diminta menerima gaji sebanyak RM4,000 sebulan dari Petronas, iaitu beberapa bulan sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan dan menjadi penanda aras untuk menentu tangga gaji mereka yang dilantik sebagai pengarah dan pengurus di bawah pimpinannya.
“Itulah bayaran yang dibuat kepada mereka yang dipilih memimpin GLC kerajaan dalam tahun 70-an. Semua perkara ini ada tersimpan dalam Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah badan-badan ini dan mesti ada dalam rekod kerajaan,” katanya mencerita lebih lanjut mengenai kisah Ku Li di era 70-an.
Jelas Ibrahim, beliau merasa sedih dengan apa yang berlaku hari ini, apabila negara berdepan dengan wabak penyakit, rakyat diminta bertolak ansur dan berkorban walaupun mereka kehilangan pekerjaan, gaji yang kecil dipotong lagi dan sebagainya sebab PKP.
Sedangkan, katanya watak-watak korporat dan Ahli Parlimen serta pemimpin lantikan politik menerima gaji puluhan ribu, malah jutaan ringgit setiap bulan.
Beliau mendedahkan gaji CEO bank ada yang dibayar serendah RM283,333 hingga setinggi RM2.31 juta sebulan pada tahun 2017.
Itu tidak termasuk lantikan politik bagi jawatan Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah dan China yang dibayar gaji RM53,000 sebulan, manakala Pengerusi GLC pula serendah RM254,00 hingga RM425,000 sebulan.