Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan pergerakan rakyat terbatas dan hasil pertanian berkurangan. Akibatnya harga sayur-sayuran dan hasil penternakan melambung.
Menurut tinjauan, rakyat merungut mengenai harga sayur-sayuran dan ayam yang tidak terkawal. Harga bahan makanan asas lain seperti ubi kentang juga meningkat daripada RM1.60 sekilo kepada mencecah RM2.60 sekilo, manakala bawang putih meningkat daripada RM5 sekilo kepada RM8.50 sekilo.
“Harga bukan sahaja amat tinggi tetapi kualiti pun kurang baik, contohnya terdapat bintik-bintik hitam atas kulit bawang putih. Harga minyak masak juga mengalami kenaikan RM1 atau lebih bergantung kepada jenama. Telur pun naik harga walaupun ini adalah musim perayaan yang sepatutnya dikawal,” kata seorang peniaga kecil yang mahu dikenali sebagai Maimunah di Segambut, Kuala Lumpur.
Pada pendapat beliau kerajaan perlu menamatkan segera PKPB agar kegiatan ekonomi mampu berkembang seperti mana sebelum Mac 2020.
“Kerajaan wajar menamatkan PKPB ini pada 9 Jun 2020. Usah dilanjutkan lagi. Harga barangan naik kerana kurang pekerja membuat barangan dan lori atau van menghantar barang juga kurang.
“Kerajaan boleh mewajibkan pemakaian topeng atau pelitup muka dalam keadaan normal baru, ini pasti dapat dilakukan oleh semua rakyat. Saya tengok Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan pun sudah lama bergegas memulakan aktiviti ekonomi mereka,” katanya.
Tegas beliau kerajaan perlu merancang bagaimana mahu membuka semula ekonomi secara sepenuhnya sebelum banyak sektor mengalami kebangkrapan.
“Kerajaan mesti pantas bertindak. Kalau tidak, maka wabak pengangguran dan wabak kebankrapan akan memberi kesan yang lebih parah berbanding dengan wabak Covid-19,” katanya lagi.