V.Sivakumar
Benarkah Mesyuarat Kabinet Khas yang diadakan pada 23 Oktober 2020 telah bersetuju untuk mengisytiharkan darurat? Pelbagai spekulasi telah membanjiri media sosial. Rakyat sudah mula berasa panik. Ahli-ahli perniagaan sudah mula berasa cemas.
Kenapakah kerajaan Perikatan Nasional telah membuat keputusan yang sedemikian? Adakah alasannya untuk memerangi penularan Covid-19? Jika ya, sudah pasti rakyat tidak akan mempercayai pembohongan kerajaan Perikatan Nasional yang tamak kuasa. Darurat bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik untuk menangani wabak Covid-19. Kerajaan boleh memilih kaedah-kaedah lain yang lebih munasabah dan tidak menjejaskan sosio ekonomi rakyat jelata.
Adalah amat menyedihkan kerana kepentingan rakyat tidak didahulukan. Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional sanggup mengadai nasib rakyat demi kepentingan politik mereka. Saya percaya seluruh rakyat Malaysia mengetahui niat jahat Muhyiddin Yassin yang tidak berhati perut dalam merancang perkara ini.
Jika darurat diisytiharkan, rakyat akan merana. Sudah tentu ekonomi negara akan terjejas. Pasaran saham akan menjunam. Banyak aktiviti-aktiviti perniagaan akan tergendala, pelaburan asing akan menurun, kadar pengangguran akan meningkat dan kemiskinan pula akan berleluasa.
Saya amat bimbang tentang nasib golongan B40 yang akan terhimpit dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Apakah akan terjadi kepada golongan yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang jika darurat diisytiharkan? Sudah tentu hidup mereka lebih menderita. Tambahan pula, tekanan hidup seperti ini akan mendorong mereka melibatkan diri dalam kegiatan jenayah dan sebagainya.
Oleh yang demikian, kerajaan yang prihatin harus mengambil kira kelangsungan hidup seluruh rakyat Malaysia. Politik yang keterlaluan harus dihentikan serta merta demi kesejahteraan rakyat jelata. Jika tidak, kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin Yassin akan terpahat sedalam-dalamnya sebagai satu sejarah hitam negara yang tidak akan dilupai.