Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Aziz Bari berpendapat, nasihat Yang di-Pertuan Agong agar ahli-ahli politik tidak terlalu berpoliticking dalam titah baginda semalam mungkin mengenai pendirian tertentu ahli politik, dan bukannya tatacara berpolitik secara demokrasi yang wajar .
“Politicking yang bagaimana? Saya fikir politicking yang sah, yang mengizinkan proses Perlembagan berjalan dan berlaku, ini bukan proses yang salah.
“Kita hendak supaya rakyat diperkasakan. Itu bukan politicking sebenarnya. Bahkan ia proses biasa. Di negara lain yang lebih maju demokrasinya, ia tidak disekat,” katanya.
Bagaimanapun, menurut ADUN Tebing Tinggi itu, politicking juga mungkin membawa maksud Agong tidak mahu ahli-ahli politik terus berteka-teki dan bermain ‘tarik tali’ dalam menyatakan sokongan kepada pihak mana yang terbaik menjadi kerajaan, sama ada Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan Plus.
“Cadagan saya (dalam isu ini) kepada Ahli-ahli Parlimen agar mengutamakan kepentingan negara dan mereka jangan bersembunyi lagi.
“Kita akur dengan Datuk Seri Anwar, kita akur dengan Agong. Mereka tidak boleh mendedahkan berapa orang dan siapa (yang menyokong kerajaan baharu).
“Saya fikir Malaysia selamat, bukan negara koboi. Jadi Ahli Parlimen yang mahu Datuk Seri Anwar jadi PM ke depanlah, itu saja.
“Kita dapat menyelesaikan masalah dengan segera. Kalau sudah melepasi 112, saya yakin Tan Sri Muhyiddin seorang yang bermaruah tak akan tunggu lama. Masalah akan selesai,” katanya.
Menurut Dr Aziz lagi, masa untuk bersembunyi sudah habis dan negara dalam keadaan kecemasan. Ahli-ahli politik perlu mengutamakan perang melawan Covid 19, membaiki ekonomi dan mengurangkan penderitaan rakyat.