Belanjawan 2021 yang lulus semalam boleh dianggap kemenangan buat semua.
Biarpun ramai mengharapkan belanjawan itu ditolak dan langkah seterusnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, namun tidak banyak yang sedar buat pertama kali dalam sejarah Malaysia belanjawan telah dipinda di peringkat jawatankuasa sebelum diluluskan.
Bagi Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, pindaan yang memperlihatkan kejayaan besar pembangkang berlaku apabila peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dikurangkan kepada separuh.
“Jasa ini kalau kita guna quote bekas pengarahnya, Puad Zakarshi, katanya Jasa memang alat politik. Pada 2018 Pakatan Harapan telah mansuhkan Jasa. Sudah dua tahun tiada agensi ini.
“Kali ini kerajaan menguar-uarkan belanjawan ini adalah untuk tangani Covid 19, membantu rakyat yang kehidupan mereka terjejas akibat Covid, tetapi kita tak nampak sedemikian.
“Walau ada beberapa tabung yang ditubuhkan namun kami juga nampak ada usaha (kepentingan kerajaan) diselit seperti Jasa yang tak ada kena mengena dengan Covid atau membantu rakyat. Ia cuma menjadi alat menjaga kepentingan politik kerajaan. Mereka peruntukkan RM85 juta.
“Maka kami bangkitkan, kami buat desakan. Pada bacaan kedua Menteri Kewangan janji akan kurangkan. Kemudian dalam jawatankuasa Kementerian Komunikasi beliau telah buat satu usul untuk kurangkan peruntukan dari RM85 juta kepada RM45 juta.
“Walaupun kami tak puas hati tetapi ini dikira satu kemenangan kecil,” katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia malam tadi.
Lih kang juga memetik kata-kata Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, bahawa belanjawan 2021 sangat bersejarah kerana sejak merdeka belanjawan yang dibentang oleh kerajaan tidak mungkin diubah walau satu tanda perkataan pun sehinggalah diundi dan diluluskan keseluruhannya.
Naib Presiden KEADILAN itu turut berpuas hati dengan beberapa cadangan lain yang dimasukkan oleh Menteri Kewangan selepas didesak pembangkang, seperti pengeluaran RM10,000 wang pencarum KWSP.
“Saya rasa ini adalah beberapa contoh yang kami utarakan dalam perbahasan. Ada juga beberapa perubahan lain yang sebelumnya Menteri Kewangan kata tidak ada peruntukan, selepas didesa tiba-tiba dia kata ada. Seperti pengeluaran wang KWSP dan sebagainya,” kata beliau lagi.