Mengapakah jangkitan Covid 19 sektor industri tidak dimaklum kepada usahawan Malaysia?
Rakyat Malaysia kesal terhadap kenyataan Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah – Malaysia yang tular di media sosial mendedahkan pegawai tinggi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata tahap jangkitan Covid 19 di sektor industri yang semakin kritikal memungkinkan kerajaan mengarahkan penghentian operasi.
Menurut Bendahari Agung KEADILAN, Lee Chean Chung, penghentian operasi sektor industri merupakan perkara besar yang melibatkan kerugian kepada syarikat-syarikat yang menceburinya.
Katanya, kerajaan tidak sepatutnya menganaktirikan sektor industri tempatan daripada pemakluman Kementerian Kesihatan yang mengesyorkan industri berhenti operasi pada 4 Februari ini.
Beliau juga mempersoalkan, mengapakah syarikat asing diberi taklimat awal dan ruang yang cukup untuk bersedia sedangkan hal sama tidak berlaku kepada syarikat tempatan.
“Saya tanya 3 soalan kepada Menteri MITI, Azmin Ali.
“Mengapakah kerajaan tidak telus dan adil dalam penyampaian maklumat kepada semua pihak?
“Mengapakah risiko ini hanya disampaikan kepada pelabur-pelabur asing, tetapi tidak kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) tempatan dan rakyat jelata?
“Adakah pelabur asing lebih penting daripada perniagaan-perniagaan warga Malaysia dan nyawa rakyat?” tanyanya di Facebook.
Menurut Chean Chung lagi, para pemain industri tempatan perlu dilayan sama penting dan diberi taklimat serupa serta ruang waktu untuk bersiap sedia menghadapi penghentian operasi.
Surat dari EUROCHAM yang tular di media sosial itu dihantar kepada ahli-ahli dewan perdagangan Eropah-Malaysia mengenai penghentian operasi bagi menghentikan kluster Covid 19 di sektor industri.
Tindakan itu, dikatakan terpaksa dilakukan kerana sektor industri menjadi punca kepada 300 kluster jangkitan Covid di seluruh negara.