Retorik kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membuat yang terbaik kepada negara dengan mengisytihar darurat dan mengagihkan bantuan Covid 19 kepada rakyat sebenarnya tidak menambah sokongan pengundi bagi memastikan pemerintah menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
Begitu juga perlecehan yang dilakukan oleh pimpinan PN bahawa Pakatan Harapan (PH) dikatakan akan kalah teruk di tangan pengundi Melayu yang menyokong Muafakat Nasional, tidak semestinya akan terjadi sedemikian.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, rakyat Malaysia tidak buta maklumat, malah katanya, pemimpin yang gila kuasa dalam PN sepatutnya lebih berhati-hati dalam menghadapi tindak balas pengundi.
“(Pemimpin) Perikatan Nasional ada kata lepas ini PH akan habis dan akan hilang banyak kerusi.
“Saya nak beritahu bahawa rakyat ini tak bodoh. Mereka ikut perkembangan dari semasa ke semasa.
“Saya beritahu, yang akan habis adalah mereka yang gila kuasa. Mereka yang meletakkan kuasa sebagai Tuhan. Meletakkan kuasa yang tidak boleh ditoleransi, buat apa sahaja, fitnah apa sahaja semata-mata untuk mengekalkan kuasa. Rompaklah banyak mana pun yang penting kekal berkuasa
“Saya nak beritahu, rakyat ini tidak terpinggir dari pengetahuan, ini zaman internet pelbagai maklumat mereka dapat,” katanya.
Sebaliknya, Abdullah Sani berpesan kepada bekas rakan-rakan seperjuangan yang telah berkhianat bahawa KEADILAN dan PH tidak lemah dengan pemergian mereka.
Malah katanya, KEADILAN telah bersiap sedia menghadapi PRU dengan strategi yang mantap.
“Saya nak berpesan kepada rakan-rakan yang begitu angkuh, sombong mengatakan mereka akan mendapat majoriti yang besar dalam PRU ke 15, kami dalam KEADILAN siap siaga, persiapan kami dari segi jentera sudah pun bermula dan kami telah kenal pasti arah mana yang hendak kami tuju
“Dan kami tidak pernah gentar atau gusar berdepan PRU kerana kuasa keramat pulangkan balik kepada kuasa rakyat
“Ingat PRU 14 kami menang majoriti bergaya. Dan hari ini setelah dirompak, dicuri, ditebuk atap oleh mereka ini maka wujud ketidakpuasan oleh rakyat Malaysia (yang akan menjadi penentu dalam PRU),” katanya lagi.