Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak wajar terus berdolak dalih berikutan kelewatan menerima vaksin Covid 19 berbanding Singapura dan Indonesia.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir berkata, rekod buruk pentadbiran Muhyiddin Yassin di tahun baharu ditandai dengan kematian seramai 275 warga Malaysia sejak 1 hingga 30 Januari 2021.
Beliau berkata, darurat yang dilaksanakan bersekali dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nampaknya bukanlah langkah terbaik dalam membendung penularan gelombang ketiga kes Covid-19 kali ini.
“Dalam hal vaksinasi, Malaysia ketinggalan pula berbanding Indonesia dan Singapura yang telah melaksanakan program vaksinasi, bahkan Bangladesh juga akan memulakan vaksinasi secara penuh ke seluruh negara bermula 7 Februari.
“Namun Malaysia masih belum menyatakan dengan tepat bilakah tarikh sebenar suntikan vaksin Covid-19 secara percuma akan dijalankan,” katanya.
Menurut Akmal, rakyat telah muak digula-gulakan dengan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin kononnya vaksin Covid akan tiba selewat-lewatnya akhir tahun 2020
Kemudian, katanya, Menteri Kesihatan memaklumkan vaksin fasa pertama akan mula diagih dan disuntik pada bulan Februari 2021 dan terbaru Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pula menyasarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara akan bermula pada Mac ini.
“Kenyataan berdolak-dalik merunsingkan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan siri kegagalan berterusan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin bagi menangani isu ekonomi, pendidikan, kesejahteraan rakyat, kesihatan awam dan pelbagai lagi.
“Justeru itu, Kerajaan digesa untuk segera membentangkan kepada rakyat tarikh sebenar penerimaan vaksin Covid-19 di Malaysia serta garis masa pelan suntikan vaksin yang digerakkan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” kata Akmal.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Johor Bahru tersebut mengucapkan tahniah ke atas semangat kental yang ditunjukkan oleh sukarelawan dari AMK yang menjadi antara indivitu terawal menjalani ujian klinikal vaksin Covid 19.
“Angkatan Muda Keadilan Malaysia merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada 62 orang sukarelawan yang menjadi individu terawal di Malaysia menerima suntikan vaksin (peringkat kajian teknikal) semalam.
“Lebih membanggakan, individu pertama dan kedua dalam Malaysia yang menerima suntikan vaksin tersebut adalah Saudara Adam Loh, Naib Ketua AMK Kedah serta Saudara BK Tan dari AMK Sg Petani.
“Ini sekaligus menyangkal kenyataan populis Perdana Menteri, kononnya beliau bersedia menawarkan diri menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.