Laporan mendakwa timbalan pengerusi KEADILAN Perak M A Tinagaran terlibat dengan siasatan dan wang tunai jutaan ringgit milik beliau dirampas adalah berita palsu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, beliau kesal dengan sebuah portal berita yang sengaja memutarbelitkan fakta untuk mensensasikan berita, sedangkan wang yang diambil untuk siasatan lebih kecil jumlahnya.
“Saya ingin membawa perhatian orang ramai kepada berita palsu yang dilaporkan oleh beberapa media melibatkan Timbalan Pengerusi KEADILAN Perak, M A Tinagaran.
“Sebelum ini semua pihak disarankan agar tidak membuat andaian, namun sikap tidak bertanggungjawab wartawan bernama Fazreen Kamal di portal Malaysia Now telah memberikan gambaran negatif dengan memutar belitkan fakta secara prejudis.
“Tiada aset atau wang tunai berjumlah berjuta ringgit yang dirampas milik Tinagaran. Sebaliknya wang sejumlah RM17 ribu dalam denominasi kecil telah diambil untuk siasatan. Kereta yang disita bukanlah miliknya tetapi oleh seorang kenalan yang menumpang tempat.
“Lebih mendukacitakan adalah apabila beberapa portal lain juga sekadar memetik sumber untuk mensasikan laporan tanpa membuat usul periksa secara lanjut,” katanya.
Farhash mengingatkan pengamal media bahawa penyebaran berita palsu adalah menyalahi Akta Komunikasi dan Multimedia.
Katanya, sebaik-baiknya kerajaan dalam hal tersebut segera menjalankan siasatan terhadap portal berkenaan dan mengambil tindakan tanpa ‘pilih bulu’.
“Saya ingin mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Diharap kerajaan tidak bersikap berat sebelah di dalam pemantauan berkenaan isu ini.
“Media harus lebih cermat kerana siasatan masih dijalankan dan semoga proses perundangan berjalan secara lancar tanpa prejudis,” katanya lagi.
Semalam beberapa portal berita menyiarkan laporan bahawa MA Tinagaran ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.
Namun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan SPRM berhubung siasatan berkenaan mahupun rampasan wang tunai sebagaimana dilaporkan media.