Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman menempelak Menteri Kanan Azmin Ali kerana mengaitkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kisah pengkhianatan.
Kata Syed Badli, nama Anwar begitu harum untuk dikaitkan dengan perbuatan tidak bermoral, mengkhianati perjuangan.
“Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semakin tidak waras bila cuba mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kisah pengkhianatan.
“Kelihatan begitu janggal sekali kerana seluruh dunia mengenali Azmin sebagai pemula Langkah Sheraton yang akhirnya mengkhianati Pakatan Harapan.
“Nama Azmin akan terpahat dalam sejarah sebagai Sikitol Moden dan pengkhianat seperti beliau akan kekal dibenci oleh masyarakat.
“Sedangkan rakaman audio yang tular terkait Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Zahid Hamidi hanyalah satu rekayasa jahat untuk menutup kebobrokan kerajaan yang gagal dalam mentadbir negara,” katanya mengulas tindakan Azmin baru-baru ini kononnya berupaya mengesahkan suara mantan ketuanya dalam rakaman audio perbulan antara Presiden KEADILAN dan Presiden Umno.
Oleh itu, Syed Badli mengingatkan Azmin agar bermuhasabah diri dan bertaubat dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
“Sebagai salah seorang menteri yang gagal, Azmin seharusnya bermuhasabah diri dan seterusnya berundur dari dunia politik.
“Justeru itu, sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, saya doakan Azmin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan,” katanya lagi.
Kelmarin, Azmin berkata, sebagai bekas setiausaha sulit kepada Anwar, beliau yakin audio yang tersebar itu adalah suara Ketua Pembangkang itu.
Malangnya, warga net meminta Azmin mengenal pasti audio serta imej dalam ‘video kabur’ skandal seks di hotel Sandakan yang menggegarkan negara 2 tahun lalu.