Rakyat tertanya-tanya mengapakah kes jangkitan Covid 19 yang menurun kebelakangan ini meningkat mendadak menjadi 2,148 kes positif semalam, tertinggi sejak 40 hari lalu.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, peningkatan kes Covid bukan disebabkan aktiviti rentas negeri semata-mata atau bazar Ramadan tetapi lebih kepada kapitalis sektor pengilangan yang tidak mengambil berat mengenai penginapan para pekerja mereka.
“Adakah peningkatan ini disebabkan terdapat kes seorang selebriti terkenal merentasi negeri untuk berbulan madu di Langkawi? Jawapannya sama sekali negatif.
“Jadi apa punca sebenarnya peningkatan kes Covid-19 di Malaysia ini sejak lebih setahun yang lalu hingga kini?
“Puncanya tidak lain kerana sistem ekonomi negara kita yang pincang dan tak seimbang. Malaysia membenarkan bermaharajalela para kapitalis yang tamak mengejar keuntungan sehingga tidak peduli hal kesihatan dan kebajikan tempat tinggal ribuan para pekerja mereka.
“Laporan kerajaan menyatakan 83 peratus kes Covid-19 di negara kita ini berpunca dari sektor pembuatan. Pandemik Covid-19 bukan berpunca daripada solat berjemaah di masjid ataupun membeli belah di bazar Ramadan dengan syarat SOP dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Pembantu Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pekerjaan dan Hak Pekerja itu, Kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional semuanya telah terlepas pandang atau cuai, atau tak peduli tentang perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Housing and Amenities Act 2019 atau akta seumpamanya.
Katanya, semua menteri dan timbalan menteri Kementerian Sumber Manusia dari ketiga-tiga kerajaan yang disebutkan adalah bertanggungjawab sejak kes Covid-19 bermula pada akhir tahun 2019.
Akta tersebut yang juga dikenali sebagai Akta 446, menurut Hassan, adalah berkaitan dengan standard perumahan atau pun tempat tinggal para pekerja.
“Tetapi ramai yang tak peduli dengan pentingnya akta ini, sama ada di pihak kerajaan dan lebih-lebih lagi pemain-pemain industri yang mengutamakan keuntungan wang ringgit melebih kebajikan para pekerja
“Sektor pembuatan seperti kilang membuat sarung tangan getah dan seumpamanya adalah pengeluar terbesar di peringkat dunia. Hampir semuanya berbasis syarikat Malaysia. Kilang-kilang tersebut mengguna tenaga buruh asing beribu-ribu orang. Syarikat-syarikat ini dalam tempoh Pandemik Covid-19 mengaut untung berbilion ringgit. Tetapi para pekerja mereka yang tidak berdosa duduk bersempit-sempit dalam asrama pekerja
“Keadaan tempat tinggal pekerja tersebut ada yang semacam kandang kambing keadaannya,” kata Hassan lagi.
Menurut beliau, selagi keadaan persekitaran tidak sihat maka mudahlah berjangkit virus Covid-19. Tiada guna Parlimen menggubal undang-undang tetapi kegagalan kerajaan menguatkuasakannya menjadikan undang-undang yang ada itu sia-sia sahaja.