Alasan tidak membenarkan sidang Parlimen konon kerana banyak Ahli Parlimen warga emas dan berisiko dijangkiti Covid 19 terus dipertahankan.
Terbaharu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menyebut mengenai kesihatan Ahli Parlimen yang diutamakan dalam isu membuka semula sidang Parlimen.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan, Rohaidah Mamat, alasan tersebut kelihatan aneh selepas semua sektor dibuka dan tidak timbul isu risiko dijangkiti Covid 19, sebagaimana pembukaan Parlimen.
“Merujuk kenyataan media Datuk Seri Takiyuddin Hassan 26 April yang lalu, “Sidang Parlimen Diadakan Selepas Tamat Darurat” beliau menyebut keutamaan yang diberikan untuk memastikan penularan wabak Covid dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan Ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen”.
“Persoalannya mengapa fokus dan kerisauan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah pada Parlimen sahaja? Sedangkan sektor-sektor lain terus dibenar beroperasi.
“Kes penularan Covid 19 tidak menampakkan tanda dapat dikekang, malah kes semakin bertambah saban hari dengan peningkatan kluster baru terutama daripada kluster pendidikan.
“Jadi, apakah kewajaran alasan Parlimen terus digantung sedangkan rekod menunjukkan dengan jelas bahawa kes Covid-19 terus meningkat? Ini bermakna kerajaan tidak ada satu pelan tindakan yang jelas, menyeluruh dan terjamin bagi mengekang penularan wabak. Desakan daripada parti-parti politik pembangkang, aktivis demokrasi, malah Ahli Parlimen kerajaan sendiri agar sidang Parlimen segera dipanggil terus (kelihatan) dipandang enteng (dengan menggunakan alasan kesihatan),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rohaidah lagi, pembukaan Parlimen amat penting kerana tatakelola kerajaan PN yang amat buruk ketika ini.
Katanya, jika dibuka perbahasan Parlimen, sekurang-kurangnya kerajaan boleh ditegur dan diawasi dalam tindak tanduk menguruskan negara.
“Apabila Parlimen digantung, ini bermakna fungsi Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara tidak dapat dijalankan. Tidak berlaku semak imbang, tidak berlaku perbahasan terperinci akan setiap langkah yang dibuat oleh kerajaan.
“Hal ini menjejaskan keyakinan pelabur dan menjejaskan ekonomi negara. Seterusnya, Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kebobrokan kerajaan, dengan situasi ekonomi yang terus menekan sekaligus krisis kesihatan pada masa yang sama,” katanya lagi.
Justeru, Rohaidah menggesa kerajaan bertindak dengan kewajaran bukan “kegilaan” dalam merangka pelan tindakan membaik pulih ekonomi serta menjamin kebajikan rakyat. Tegasnya, jangan bawa demokrasi Malaysia ke titik terendah.