Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin diminta mengambil sikap tegas terhadap pencerohonan pesawat tentera udara China dan kapal peronda republik itu yang menceroboh ruang sempadan Malaysia baru-baru ini.
Ketua Koordonator Jingga13 Malaysia, Fariz Musa berkata, Muhyiddin perlu bertegas terutama terhadap menteri kabinet beliau yang didakwa mempertikai tindakan Malaysia mengecam pencerobohan kuasa asing berkenaan.
“Tahniah dan syabas kepada TUDM yang telah bertindak tegas dalam isu pencerobohan 16 Pesawat tentera China. TUDM tanpa ragu-ragu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara seharusnya dipuji dan menerima “tabik hormat” daripada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara .
“Namun begitu terdapat seorang anggota kabinet yang tidak selesa dengan ketegasan TUDM mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara. Ini satu tindakan “pengkhianatan” yang tidak boleh dimaafkan. Beginikah sikap seorang anggota kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tiada ada rasa cinta pada negara, sepatutnya beliau mempertahankan ketegasan TUDM tetapi sebaliknya. Adakah beliau merupakan balaci kerajaan China dalam negara ini?
“Muhyidin selaku Perdana Menteri mesti mendedahkan dengan segera siapakah anggota Kabinet yang kurang ajar dan biadab mempertikaikan tindakan TUDM, serta mengambil tindakan tegas dengan memecat menteri tersebut. Isu keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi sama sekali. Muhyidin jangan cuba menutup dan menyembunyikan anggota Kabinet “pengkhianat” tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Fariz lagi, insiden penderobohan demi pencerobohan tidak wajar ditangani dengan sikap berdiam diri Malaysia, terutama Menteri Luar yang tidak membantah keras tindakan China.
“Belum pun habis insiden 16 pesawat tentera China kita dikejutkan dengan pencerobohan kapal peronda maritim China berhampiran Beting Patinggi Ali yang terletak hanya 84 batu nautika di Pantai Miri. Tidak sampai sebulan kedaulatan negara terus terusan diinjak negara China .
“Apakah mereka menjadi begitu berani dan “besar kepala” kerana pemimpin yang bertanggungjwab dalam hal ehwal luar negara kita amat lemah sehingga kedaulatan dan keselamatan negara tergugat dan dipermainkan?” tanya Fariz.
Bagi beliau, Kerajaan PN seharusnya mendepani isu tersebut dengan betul demi mempamerkan kepada bahawa dalam hal kedaulatan dan keselamatan, Malaysia tidak gentar walaupun berhadapan kuasa besar seperti China .