Malaysia tidak seharusnya terjebak ke dalam krisis Perlembagaan sekiranya Perdana Menteri enggan menasihati Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen dalam waktu krisis pandemik Covid 19 belum berakhir.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, bagi mengelakkan kemungkinan itu, Parlimen seharus bersidang sebelum 2 Ogos ini.
“Pada 15 Jun, Tan Sri Mahiaddin Yassin sewaktu pembentangan ‘Pelan Pemulihan Negara’ menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu Fasa 3 pelan Pemulihan, dijangka sekitar September atau Oktober 2021.
“Pada 16 Jun pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengulangi paling awal Parlimen boleh bersidang pada September.
“Saya percaya kenyataan mereka ini dibuat atas beberapa perkiraan, termasuk jumlah kes Covid-19 serta lain-lain tanda aras. Namun ada satu tanda aras yang tidak diambil kira Perdana Menteri dan Menteri, iaitu Darurat.
“Umum sedia maklum bahawa pendirian Raja-Raja Pemerintah dalam isu Darurat seperti yang dinyatakan di dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan Darurat selepas 1 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyatakan, secara Perlembagaan, Parlimen telah pun melanggar peraturan kerana tidak bersidang dalam tempoh 6 bulan daripada sidang terakhir pada 17 Disember 2020.
Hal itu menyangkut Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkaan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.”
Bagaimanapun, kata Fahmi, bagi mengatasi isu tersebut, kerajaan menggunapakai Perkara 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, iaitu: “Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubung dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan”
Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi sukar sekiranya Darurat berakhir pada 1 Ogos 2021.
“Ini bermaksud Perkara 14(1)(a) tidak lagi terpakai kerana Darurat sudah tidak berkuat kuasa. Maka Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan akan terpakai semula pada ketika itu.
“Oleh yang demikian, untuk mengelak dari berlakunya krisis Perlembagaan, Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos 2021. Bukan September ataupun Oktober, seperti yang diulang-ulang PM Mahiaddin dan Takiyuddin.
“Saya gesa PM Mahiaddin dan Takiyuddin untuk segera mendapatkan nasihat Peguam Negara dan menjelaskan kepada umum tentang perkara ini, untuk mengelak dari mengelirukan orang ramai termasuk juga Ahli-ahli Parlimen,” katanya lagi.
Selain itu, menurut Fahmi, memandangkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah telah bertitah agar Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’, kerana Parlimen adalah platform terbaik untuk mendengar masalah dan menyelesaikan isu rakyat maka Perdana Menteri mestilah sesegera mungkin memohon menghadap dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen.