Kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang baru-baru ini yang mengharamkan rakyat menyokong pihak dianggap musuh agama amat mengelirukan.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan berkata, Hadi telah memetik hadis Rasulullah s.a.w dalam konteks yang salah dan pendapatnya itu ditujukan kepada pihak yang tidak jelas.
Katanya Amidi, hadis tersebut membicarakan mengenai musuh yang secara terang-terangan dan berulangkali memusuhi Allah dan Rasul-Nya yang tidak dapat ditemui dalam suasana Malaysia pada waktu ini.
“Siapakah musuh Islam di negara ini yang dimaksudkan oleh Presiden Pas tersebut? Jika benar musuh yang dikatakan bersumberkan hadis berkenaan, maka musuh tersebut wajib diperangi dan nyawanya halal untuk dibunuh seperti layaknya peperangan ke atas golongan yang digelar sebagai ‘kafir harbi’ dengan maksud yang sebenar.
“Kita semua harus memahami dengan perspektif yang lebih tepat. Hubungan muslim dengan bukan muslim di negara ini bukan semudah melabel semua golongan bukan Islam dengan istilah ‘kafir harbi’ dan ‘kafir zimmi’ sahaja. Ia lebih kompleks daripada itu. Perkara ini dihuraikan dalam fiqh Muawathanah yang bersangkutan dengan kewarganegaraan dengan lebih mendalam oleh Dr Ahmad al-Raysuni, Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan juga oleh Dr Rached Ghanouchi.
“Umat Madinah dibina dengan penuh berhati-hati oleh baginda Rasulullah ﷺ. Oleh sebab itulah permuafakatan dan persefahaman ditulis dengan jelas dalam sebuah deklarasi yang dikenali sebagai Sahifah Madinah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amidi lagi, Sahifah Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah itu jelas menggariskan hak dan tanggungjawab mana-mana individu, keluarga dan kabilah.
Selagi perjanjian tersebut tidak dinodai dengan pengkhianatan maka pihak muslim atau bukan muslim, katanya perlu mengotakan setiap perkara yang telah dipersetujui.
Jika sebaliknya, maka tindakan tegas akan diambil terhadap pengkhianatan yang dilakukan. Jika perkara tersebut berlaku, ia bukan sahaja musuh umat Islam tetapi musuh seluruh umat Madinah.
“Tanpa mengira agama dan keturunan setiap warga Madinah perlu diperlakukan selayaknya, perlu dibela dan mendapat perbicaraan sewajarnya di mahkamah dan dalam segala aspek kehidupan.
“Mengambil teladan dari negara Madinah itulah, maka kita mesti melihat perkara ini dari sudut yang betul.
“Jika benar ada ‘musuh’ Islam, maka ia juga adalah musuh negara kerana ia telah merungkai persefahaman seperti yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan. Kecuali kita juga tergolong dalam kelompok yang menafikan tanggungjawab kita untuk mengikut lunas-lunas yang terkandung dalam Perlembagaan yang sekali gus menjadikan kita sebagai musuh negara.
“Jika itulah yang dimaksudkan maka terlucutlah kelayakan kita sebagai warganegara Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun kata mantan Presiden ABIM itu, jika yang dimaksudkan Pas adalah musuh parti politik Islam maka hal tersebut mengelirukan dan akan menimbulkan perpecahan umat, kerana musuh politik dalam sistem demokrasi yang juga diamalkan Pas, tidak ada kena mengena dengan keimanan atau pemerintahan.
“Kita boleh memahami, jika yang dimaksudkan adalah musuh politik parti Islam tetapi bukan musuh Islam ia boleh membawa kepada justifikasi darahnya halal ditumpahkan. Jika inilah fahaman yang didokong, maka ia mirip kepada pemikiran melampau dan boleh menjejaskan keamanan negara.
“Jika tidak, ia hanya satu pandangan yang penuh dengan kekeliruan dan hanya bertujuan menakut-nakutkan dengan asas yang masih boleh dibahaskan,” katanya lagi.
Kelmarin, Hadi muncul dengan kenyataan menyifatkan Pakatan Harapan “melampau terhadap Islam” dan mengharamkan orang ramai bersama gabungan tersebut.
Dalam catatan di media sosial itu Abdul Hadi mengingatkan pesanan Nabi Muhammad SAW kepada orang beriman agar bijak menghadapi cabaran, sama ada daripada kawan atau lawan
Catatan itu mendapat tindak balas segera warga maya yang kemudian memuat naik gambar-gambar Hadi bersahabat dengan Semangat 46, DAP, KEADILAN, MCA dan banyak lagi mengikut kesesuaian fatwa politik semasa yang menguntungkan Pas pada waktunya.