Majoriti rakyat tertanya-tanya mengapakah individu atau keluarga yang kesusahan dan menaikkan bendera putih meminta bantuan dimarahi serta dihina kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagi Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul, kerajaan PN tiada sebab untuk menghalang rakyat meminta bantuan dengan apa cara sekali pun. Apatah lagi situasi terburuk yang berlaku di negara ini adalah akibat kegagalan kerajaan itu sendiri.
Katanya, jika kerajaan PN segera menempah vaksin Covid 19 sejak tahun lalu maka tidak perlulah rakyat menjalani Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan tidak perlu kempen menaikkan bendera putih.
“Tiada siapa pun yang boleh tolak kerajaan PN ini telah gagal. Pertama Parlimen telah meluluskan bajet pembelian vaksin jauh lebih awal sebelum lockdown semasa Parlimen sedang bersidang (tahun lalu).
“Kedua, kegagalan memesan vaksin menyebabkan apa yang berlaku kini, rakyat terkena jangkitan virus dan seterusnya kita sudah buat lockdown banyak kali. Vaksin yang lambat diberi menyebabkan beberapa masalah lain seperti industri terjejas, perniagaan terjejas maka wujudlah pembuangan kerja dan lain-lain,” katanya.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Sungai Petani itu, kerajaan PN seharusnya berterima kasih dengan rakyat Malaysia yang menunjukkan daya toleransi super tinggi dan tidak berdemontrasi membantah kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Mahiaddin Yassin.
“Rakyat Malaysia ini sangat baik hati, mereka tidak turun ke jalan raya memberontak. Juga tidak ada gerakan untuk melakukan benda di luar undang-undang, jadi apa salahnya bantu sahaja mereka,” katanya lagi.
Sejak kempen menaikkan bendera putih diperkenalkan pada awal Julai lalu, kerajaan PN terus-menerus menolak kaedah berkenaan sebagai salah satu cara memohon bantuan secara serta-merta.
Malah di beberapa negeri seperti Pahang dan Terengganu dilaporkan rakyat yang kelaparan dan menaikkan bendera putih diugut untuk dikompaun atau dipulaukan oleh masyarakat setempat, terutama penyokong parti politik tertentu.