Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham merupakan langkah tidak demokratik.
Menurut Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) usul berkenaan yang dihantar pada 12 dan 19 Julai berkaitan Darurat meminta Dewan Rakyat membahas Proklamasi, Ordinan-Ordinan dan perkara-perkara berkaitan pengurusan pandemik Covid-19 dalam negara sewajarnya diterima.
Malangnya, kata mereka, Speaker telah menolak usul itu dan enggan membenarkan ianya dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat sidang khas yang bermula 26 Julai 2021.
“Kami berpandangan penolakan usul-usul oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat ini adalah satu bentuk salah guna kuasa dan membuktikan beliau tidak mampu bertindak sebagai seorang Speaker yang tidak berpihak atau bebas serta mampu menjamin fungsi Parlimen sebagai platform semak dan imbang terhadap Eksekutif.
“Tindakan-tindakan ini membuktikan beliau hanyalah satu alat pihak Eksekutif demi melaksanakan agenda mereka.
“Jelas dari tindakan Speaker Kerajaan Perikatan Nasional sangat terdesak untuk mengelakkan sebarang undian di dalam dewan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menjadi agen Kerajaan untuk memastikan tidak akan ada sebarang pengundian dalam sidang khas ini,” kata mereka.
Menurut jawatankuasa tersebut Speaker menolak usul-usul Port Dickson dan Beruas bukan sahaja bermotif politik tetapi melanggar hak-hak Ahli Parlimen di bawah Perlembagaan untuk membawa usul-usul tersebut, seperti yang termaktub di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk membahas dan memutuskan Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 serta Ordinan-Ordinan yang berkait dengannya.
Kata mereka, Perkara 150(3) dengan jelas menyatakan “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).”
“Pada pandangan kami perkara berkenaan bermaksud apabila Parlimen bersidang, sebarang Proklamasi dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan hendaklah “dibentang di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen” yakni dimasukkan sebagai dokumen rasmi di hadapan Dewan.
“Ini perlu dibuat melalui satu usul namun Kerajaan PN telah memilih untuk melakukannya seakan-akan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan yang berkaitan hanyalah peraturan kecil. Dengan kata lain, Kerajaan tidak membawa sebarang usul untuk mengelakkan dari sebarang pengundian berlaku tetapi hanya akan meletakan dokumen-dokumen ini di atas meja Ahli-Ahli Parlimen.
“Apakah maksud “jika tidak terlebih dahulu dibatalkan”? Ini merangkumi keadaan di mana Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Kerajaan bersetuju membatalkan Proklamasi atau ordinan-ordinan sebelum sidang Parlimen, mungkin kerana ianya tidak lagi diperlukan atau lebih baik kembali ke amalan demokrasi yang biasa lebih awal dari yang dirancang.
“Apakah maksud “jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu”? Amat jelas kepada sesiapa sahaja, Kerajaan atau seorang Ahli Parlimen boleh membawa usul untuk mengungkaikan Proklamasi atau ordinan-ordinan.
“Walaupun dalam keadaan biasa, sekiranya Proklamasi dibatal atau tidak dilanjutkan, ordinan-ordinan akan terus berkuatkuasa selama enam bulan (Perkara 150(7)). Namun ini hanya boleh berlaku jika satu usul dibahas dan kemudiannya diputuskan.
“Hak untuk membawa usul mengungkai Proklamsi atau ordinan-ordinan adalah hak Perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 150(3) dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Dan inilah yang dimaksudkan YB Beruas
apabila beliau memohon kebenaran Dewan untuk memutuskan empat usul tersebut. Bagi YB Port Dickson pula, usul beliau cuma memohon agar diadakan perbahasan penuh seperti kebiasaan, dan ianya jelas dalam lingkungan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.
Tegas jawatankuasa itu, Speaker Dewan Rakyat telah menolak secara salah usul-usul Port Dickson dan Beruas. Beliau telah secara salah menggunakan Peraturan Mesyuarat 11(3) yang membolehkan Perdana Menteri menetapkan urusan-urusan bagi sidang khas. Peraturan
Mesyuarat 11(3) tidak relevan dan telah disalah guna untuk menolak usul-usul tersebut.
Bagi PH, Perdana Menteri sendiri telah menetapkan agenda dengan memasukkan penerangan Menteri-Menteri dalam semua perkara yang telah dibangkitkan Port Dickson dan Beruas, khususnya berkait Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan.
Justeru, Ahli Parlimen PH tidak mengusulkan sesuatu yang tiada kaitan dengan agenda yang telah ditentukan Kerajaan, yang telah termaktub haknya di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Niat sebenar Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Kerajaan PN adalah untuk menghalang sebarang pengundian dari berlaku sewaktu sidang khas Parlimen. Dan itulah sebabnya mengapa mereka melakukan tindakan terdesak dan kurang bijak menolak usul-usul yang akan diundi.
“Dengan melakukan sedemikian, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menunjukkan sekali lagi bahawa beliau tidak layak untuk melaksana tanggungjawab dan tugas-tugas seorang Speaker. Beliau perlu mengingatkan dirinya sendiri bahawa beliau mengundang tindakan mendesak pengosongan jawatannya sebagai seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan tindakan-tindakan yang salah ini,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh William Leong Jee Keen, Mohamed Hanipa Maidin, Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh, Sivarasa Rasiah, Muhammad Faiz Fadzil, Fadhlina Sidek dan Dr Zulqarnain Lukman.