Malaysia mencatat sejarah hitam hari ini apabila bukan sahaja pasukan polis menutup Bangunan Parlimen malah dalam jarak 2 kilometer jalan masuk ke Parlimen.
Kumpulan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang pagi ini yang berarak menuju ke Parlimen selepas berucap di Dataran Merdeka disekat daripada meneruskan perarakan di bulatan berhadapan Bank Negara Malaysia.
Paling ke hadapan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menghadapi hadangan polis pada pukul 10.00 pagi. Beliau dihadang oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bersama jentera meriam air dan berpuluh-puluh polis biasa.
Guan Eng dilihat bertanya kepada ketua polis yang bertugas, atas arahan siapa sekatan dilakukan. Menurut beliau, Ahli Parlimen hanya mahu ke pejabat dan menjalankan tugas mereka.
Bagaimanapun polis menjawab sekatan dibuat di bawah Akta Polis kerana negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan dan Akta 342, akta penyakit berjangkit.
Di belakang perarakan disertai 107 Ahli Parlimen itu melaungkan ‘Daulat Tuanku’, ‘Mahiaddin letak jawatan’, ‘Hidup rakyat’ dan ‘Reformasi’ dari Dataran Merdeka dan terpaksa berhenti di bulatan Bank Negara
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Snwar Ibrahim kemudian berunding dengan pihak polis pada pukul 10.30 pagi. Bagaimanapun keputusan polis mutamad, tiada seorang pun dibenar melepasi sekatan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu nmengambil keputusan untuk berucap dan mengumumkan sekali lagi kerajaan PN tiada keabsahan dan Ahli-ahli Parlimen yang menentang beliau kini lebih banyak berbanding yang menyokomg.
“Kerajaan hilang keabsahan, tidak boleh mengurus pemerintahan, mereka melanggar Perlembagaan, menghalang Ahli Parlimen menjalankan tugas dan yang agak serius ialah menderhaka kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong.
“Kita (Ahli Parlimen) di sini sebagai rakyat taat kepada Yang diPertuan Agong dan yang mahu tunduk di bawah Perlembagaan dan membela nasib rakyat.
“Rakyat sekarang terkorban derita kerana kegagalan kerajaan. Kerajaan hilang sokongan, kerajaan gagal jalankan tugas tetapi terus bertahan untuk pegang kuasa.
“Ini pandangan 107 Ahli Parlimen dari semua parti Pembangkang dan sebagaimana saya sebutkan tadi ada Ahli Parlimen yang telah pun menulis kepada Speaker yang menunjukkan bahawa kerajaan Mahiaddin telah kalah (hilang majoriti). Ini (sekatan) cara mereka (kerajaan Perikatan Nasional) melanggar Perlembagaan dan mengalih peluang untuk kita bantah di Parlimen,” katanya.
Bantahan tersebut bersurai pada pukul 11.00 pagi.