Seminggu Parlimen bersidang, memorandum kerjasama telah ditandatangani pada 13 September lalu namun pihak kerajaan Perikatan Nasional masih lagi tidak berani untuk melakukan undian melantik Timbalan Speaker II Dewan Rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, agenda melantik Timbalan Speaker ini sepatutnya diselesaikan pada Selasa lalu dengan memilih calon dari pihak kerajaan atau pembangkang, dan tidak sewajarnya berlarutan sehingga ke minggu kedua sidang.
“Sepatutnya pada Selasa agenda pemilihan Timbalan Speaker. Itu ada dalam agenda mesyuarat. Kita jangka tak ada pemilihan, tetapi ada. Dari Pembangkang mencalonkan Nga Kor Ming dan di pihak Umno, YB Pontian, Ahmad Maslan. Kami bersedia beri sokongan kepada calon Timbalan Speaker kita.
“Namun apa yang berlaku Menteri Undang-undang Datuk Wan Junaidi telah bangun dan bawa usul untuk tidak laksanakan pemilihan Timbalan Speaker, sebaliknya mencadangkan usul supaya ada tambahan satu lagi jawatan Timbalan Speaker diperuntukkan khas untuk Pembangkang.
“Jadi timbul persoalan, kalau kita tidak mengisi kekosongan itu sekarang kita hanya ada seorang Speaker dan seorang Timbalan yang banyak beban tugas,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Teknologi Digital, Komunikasi dan Pengangkutan itu kegagalan melantik Timbalan Speaker telah mencalarkan imej pihak kerajaan. Hal itu, katanya mungkin berlaku atas kekhuatiran pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bahawa sesetengah Ahli Parlimen kerajaan tidak akan mengundi calon Timbalan Speaker dari Umno.
“Ada kebimbangan mungkin di pihak sebelah sana mereka tidak ada keyakinan boleh menang undian, sekira berlaku pemilihan melalui pengundian
“Selain itu, ada dakwaan mengatakan Pontian tidak disokong oleh beberapa Ahli Parlimen pihak kerajaan, mungkin Ahli Parlimen Bersatu atau Bebas,” katanya lagi.
Namun Syed Ibrahim menekankan agar isu Timbalan Speaker II diselesaikan pada sesi sidang minggu ini kerana bebanan berat atas bahu Speaker dan timbalan yang sedia jika kerusi Timbalan Speaker II terus dibiarkan kosong.