Memorandum kerjasama (MoU) di antara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) akan memberi pelbagai kebaikan kepada rakyat, terutama anak muda yang menjadi generasi pelapis masa hadapan.
Bagi Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, MoU itu akan memberikan suasana baharu dalam politik yang menguntungkan rakyat secara keseluruhan.
Katanya, dengan kerjasama tersebut beberapa aspek seperti reformasi Parlimen, Covid 19, kebebasan kehakiman akan diperbaiki pelaksanannya.
“Kalau kita tengok dari segi pentadbiran, kita cadangkan undang-undang Anti Lompat Parti dan Undi 18 perlu dilaksanakan dengan segera.
“Undi 18 telah lulus zaman PH tetapi sampai sekarang kerajaan cuba abaikan. Kerajaan perlu fokus dan dapat dilaksanakan secepat mungkin isu ini.
“Negara maju seperti Kanada telah lama praktik Undi 18 tetapi kita ketinggalan,” katanya dalam forum maya Lensa Parlimen: RMK dan MoU, Apa Anak Muda Dapat”, petang semalam.
Menurut Prabakaran lagi, dengan MoU itu PH juga berjaya mendapatkan dana tambahan RM45 bilion untuk menangani Covid 19 yang amat diperlukan oleh sebahagian besar rakyat yang terjejas kehidupan mereka.
Manakala untuk anak muda, kata Praba, situasi politik yang damai membolehkan PH berunding bersama pihak kerajaan untuk melaksanakan agenda pembangunan kelompok berkenaan.
“Untuk anak muda, saya rasa ini adalah satu reformasi yang kita usahakan. Contoh tandatangan MoU dengan kerajaan itu tak pernah berlaku. Sekarang boleh buat, maka masa depan pun boleh buat.
“Masa kerajaan PN 1.0 dulu kita susah untuk bertemu menteri tetapi sekarang jumpa menteri agak senang, pihak pegawai menteri bagi ruang untuk kita bincang. Itu politik matang yang anak muda akan rasa,” katanya.
Mengulas mengenai Rancangan Malaysia ke (RMK) 12 pula, Praba yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan mengharapkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada golongan muda miskin bandar dan luar bandar pada pembentangan kali ini.
“Harapan saya agar kerajaan fokus isu ekonomi anak muda, kemiskinan anak muda di bandar dan luar bandar. Kita telah lama merdeka, banyak kali pengumuman RMK beri fokus kemiskinan, namun tak banyak inisiatif yang betul kepada warga bandar dan luar bandar. Kali ini umum RMK tetapi perlu pastikan perkara itu berjalan.
“Dulu kata RMK memperkasa Bumiputera, sampai sekarang orang Melayu banyak miskin tegar. Apa mekanisme yang mereka guna?
“Kita boleh mulakan dengan anak muda kerana mereka tulang belakang negara. Kalau kita tidak fokus anak muda macam mana nak fokus yang lain. Negara kita pun majoriti dihuni anak muda,” katanya.
Selain itu, Praba juga berharap kerajaan memperbaiki kemudahan pendidikan dan memperkenalkan mata pelajaran atau korikulum tertentu yang menitikberatkan hal sejarah serta sivik bagi mematangkan anak muda yang selepas ini akan mula mengundi pada usia 18 tahun.
“Saya harap menteri bincang dengan pakar untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Kerajaan juga perlu memberi dana yang besar untuk pastikan kualiti pendidikan adalah tinggi.
“Misalnya di Kuala Lumpur sekali pun ada banyak sekolah uzur. Ada masalah elektrik, masalah bumbung bocor. Apa lagi di Sabah, Sarawak dan luar bandar, yang berada pada tahap menyedihkan.
“Satu lagi, pengajian sivik dan sejarah perlulah difokuskan. kalau Undi 18 berjaya maka anak muda perlu berfikiran matang. Perlu ada pendidikan di sekolah. Memang pendidikan sivik ramai pelajar tidak minat. Mungkin mereka tidak tahu perkembangan politik dan pembangunan negara. Saya rasa hal ini perlu diperkasakan,” katanya lagi