Parlimen perlu dijadikan institusi pembuat dasar serta semak imbang yang berkesan melalui Belanjawan 2022.
Menurut perunding belanjawan Pakatan Harapan (PH), Tony Pua, peruntukan yang sesuai perlu diberikan bagi memperbanyakkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam memantau kementerian agar pembaziran dan penyelewengan tidak berulang.
“Kita desak peruntukan mencukupi untuk dasar reformasi Parlimen yang kita bersetuju dalam MoU reformasi Parlimen dan perkukuh jawatankuasa sedia ada, membolehkan jawatankuasa jalankan pemantauan dan laksanakan dasar tertentu dalam setiap jawatankuasa.
“Kalau jawatankuasa tidak diberi fasiliti mencukupi, kesemua kerja-kerja akan gagal dan hanya untuk pameran sahaja.
“Kita mahu Parlimen menjadi institusi bergigi dan bukan cakap kedai kopi serta tidak boleh buat perubahan undang-undang,” katanya.
Tony juga mengulas mengenai nilai RM45 bilion yang berjaya dimasukkan PH dalam Belanjawan 2022 yang amat perlu untuk menjana ekonomi dan menyelamakan rakyat dari kehancuran ekonomi akibat kesan Covid 19.
“Kita nak bantu individu, keluarga dan majikan suapaya ekonomi pulih semula dan bertanding di peringkat antarbangsa dan kehidupan rakyat Malaysia kembali ke normal.
“Kita telah dengar banyak kali pemimpin PH tekankan pihak kerajaan suntik RM45 bilion untuk membantu rakyat dalam satu dana Covid. Kita bangga pihak kerajaan bersetuju buat begitu.
“Ia antara perkara yang kita berikan fokus untuk tambah peluang pekerjaan capai pertumbuahn ekonomi yang mapan dan hijau,” katanya.
Selain itu, Tony juga membentangkan peruntukan RM4 bilion bagi memperkukuh sistem kesihatan negara bagi menghadapi cabaran Covid seterusnya.
Dana RM30 bilion bantu peniaga kecil memulihkan perniagaan. RM15 bilion geran perkukuh keselamatan tempat kerja menghindari Covid juga RM6 bilion bantu pihak swasta mewujudkan peluang pekerjaan. PH juga mencadangkan RM5 bilion untuk menambah jumlah bayaran bantuan prihatin kepada semua keluarga B50.
Katanya kejayaan terbesar PH adalah menelan kerajaan untuk mengecualikan faedah pinjaman bagi keluarga B50. Bank-bank diminta mewujudkan dasar bantu golongan B50 yang susah
“Kita juga mahu pihak Kementerian Kewangan kukuhkan jaringan keselamatan sosial. Kita minta Kementerian Kewangan mengekalkan banyak dasar yang diwujudkan semasa kerajaan PH, termasuk dasar i-Suri yang mana suri rumah dapat sumbangan KWSP dari suami, juga i-Persaraan. Kini kita minta kerajaan perluaskan asar i-suri dan i-persaraan. Kita mahu pekerja tidak formal, pekerja kontrak dapat KWSP. Sekarang tiada peruntukan untuk menjaga persaraan mereka.
“Kita mahu rakyat 18 tahun diberikan pendaftaran dari KWSP dan Socso,” katanya.
Tambah Tony, PH juga mahu perlindungan ke atas wanita dan kanak-kanak yang lebih serius. Bina lebih banyak pusat menangani krisis dan menggalakan lebih banyak tribunal untuk melawan gangguan seksual ke atas wanita
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berharap semua perkara yang dikemukakan kepada media akan dimasukkan dalam dokumen Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
“Kita harap apa yang kita dengar hari ini akan didengari pada hari Jumaat dan kita berjaya mempengaruhi kerajaan PN (dalam hal belanjawan),” katanya lagi.