Pakatan Harapan (PH) amat prihatin terhadap suara rakyat yang lantang mengkritik kelembapan Jemaah Menteri Kerajaan BN – PN dalam menghadapi malapetaka banjir luar biasa pada pertengahan Disember lalu.
Menurut Majlis Presiden PH, kematian hampir 50 mangsa dan kerosakan harta benda perlu dipertanggungjawabkan ke atas Jemaah Menteri kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang lewat bertindak balas.
“Suara rakyat kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respons Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk di Sabah iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada Semptember lalu.
“Kesan banjir besar dari segi kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa hampir 50 orang kali ini amat ketara dan mengguris hati.
“Malah fenomena ini telah membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa dan pembangunan yang tidak mampan akhirnya memberi kesan yang amat negatif buat rakyat,” kata kenyataan Majlis Presiden.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mahu sidang khas Parlimen dipanggil dan satu suruhanjaya siasatan khas dibentuk bagi menyelidiki punca sebenar kelewatan proses evakuasi mangsa banjir pada 18 Disember lalu dan mengapakan tiada koordinasi yang berkesan antara agensi agensi Kerajaan Persekutuan menghadapi bencana berskala besar.
“Majlis Presiden PH berpendirian YAB Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri wajib memberi penjelasan penuh dalam satu sidang khas Parlimen khusus berhubung banjir besar ini.
“Pada masa yang sama, kami turut berpandangan Kerajaan perlu menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja, selaras dengan titah Tuanku bahawa satu pascanilai (postmortem) banjir besar ini dilakukan, termasuk juga buat Sabah dan Sarawak.
“Ini bagi mengenalpasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi, termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut berhubung 6 kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” kata mereka.
Majlis Presiden dalam pada itu turut mengucapkan jutaan terima kasih buat semua petugas, sukarelawan dan dermawan yang telah membantu dalam pelbagai misi menyelamat, membersih, dan memulihkan kawasan-kawasan yang sangat terjejas akibat banjir yang berlaku dalam beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada 18 Disember lalu.
“Malah tenaga dan semangat para sukarelawan mungkin diperlukan lagi bagi membantu menghadapi gelombang kedua di Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.