Bagi menyaingi bekas PM Abdullah Badawi yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari, Najib Razak memperkenalkan konsep wasatiyah (kesederhanaan) dalam pentadbirannya.
Namun watak kelam PM yang terpalit kes rasuah pembelian kapal selam RM3 bilion ini terjojol dalam ucapannya di Felda Jengka 8, Pahang, 8 Mei lalu. Dalam ucapan itu Najib menggunakan perkataan ‘haram jadah’ mengecam pihak yang tidak senang dengan usaha penyenaraian Felda.
Bagi Pengerusi Biro Felda & Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said perkataan haram jadah langsung tidak menggambarkan Najib sebagai seorang pemimpin yang perlu dihormati dan disanjungi.
“Najib sangat terdesak dan panik dengan kebangkitan peneroka yang menuntut hak mereka hingga sanggup mencerca peneroka Felda.
“Ramai peneroka marah dengan kata-katanya. Adakah orang seperti ini masih mahu dipertahankan?, kata Suhaimi Said ketika dihubungi Suara Keadilan.
Ketika menyampaikan ucapan di Felda Jengka 8, Pahang 8 Mei lalu, Najib mengulangi perkataan ‘haram jadah’ sebanyak dua kali dan menyatakan ‘pengkhianat’ tidak boleh menerima ‘durian runtuh’.
“Semua peneroka Felda tahu ganjaran RM15,000 itu hanyalah umpan. Pelik rasanya bila dibayar secara berpetingkat, sebanyak tiga kali.
Kata Suhaimi, sebagai talian hayat Umno-BN, pengundi Felda terus diasak dengan taburan ‘wang segera’, semata-mata untuk mengekalkan sokongan.
Terdapat 54 kawasan Parlimen dan 96 Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan penempatan Felda di 317 tana rancangan.
“Kalau Najib yakin boleh menang, beri terus wang itu. Kenapa berperingkat?
“Kita bimbang janji tinggal janji. Kalau Barisan Nasional kalah kelak, baki wang tak dilunaskan,” kata Suhaimi.